KPDN serbu premis hiburan, sita set karaoke di Pulau Pinang

KPDN serbu premis hiburan, sita set karaoke di Pulau Pinang

S. JEGAN (kiri) ketika turut serta dalam operasi khas bersama RIM di dua buah premis hiburan sekitar George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua premis hiburan diserbu dalam satu operasi khas oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sini, semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 6 petang itu turut melibatkan wakil pemilik hak cipta iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pelbagai peralatan elektronik termasuk set karaoke yang mengandungi beberapa jenis perisian karya muzik yang disyaki salinan langgaran sebanyak 14 buah lagu telah disita.

Katanya, turut disita untuk siasatan lanjut ialah enam unit mikrofon, satu set karaoke digital audio, empat set pembesar suara, dua buah televisyen dan satu unit karaoke menggunakan sistem skrin sentuh yang dianggarkan bernilai RM30,000.

“Operasi tersebut diadakan susulan aduan yang diterima daripada wakil pemilik hak cipta berhubung kegiatan menggunakan karya berkenaan bagi aktiviti perniagaan.

“Kedua-dua premis yang diserbu itu pula memang merupakan sebuah pusat hiburan berlesen yang menyediakan perkhidmatan karaoke,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Jegan, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi aktiviti perniagaan supaya memohon kelulusan daripada pemilik hak cipta untuk mengelak dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Hak Cipta 1987.

“Dalam hal ini, pengguna diseru supaya menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN