KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di pasar-pasar secara bersasar bermula Oktober ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif PJRM di pasar itu diperkenalkan untuk memperluaskan akses kepada pengguna bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
Selain itu, menurutnya, pelaksanaan PJRM di pasar juga bertujuan memperbanyakan lagi jenis barangan keperluan yang ditawarkan kepada rakyat.
“Sasaran penganjuran PJRM@Pasar mengambil kira beberapa faktor seperti kawasan yang berlaku pergerakan harga barang dengan kadar kenaikan yang signifikan, gangguan bekalan disebabkan faktor cuaca dan kos pengangkutan yang tinggi sehingga mempengaruhi harga barang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu 2024 di Surau Al-Iman Losong Panglima Perang, di sini, hari ini.
Armizan memberitahu, pemilihan kawasan untuk PJRM di pasar ini akan ditentukan berdasarkan pemantauan terhadap pergerakan harga barang dan aduan orang awam.
Kaedah ini merupakan satu lagi bentuk intervensi kerajaan dalam membantu
menangani isu kos sara hidup rakyat secara bersasar.
“Pelaksanaan di pasar-pasar secara bersasar mengikut keperluan semasa ini juga
dilaksanakan untuk memastikan PJRM di Pasar tidak mendatangkan implikasi gangguan atau herotan kepada pasaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya, sebanyak 7,173 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara yang telah merekodkan lebih enam juta pengunjung dari 1 Januari hingga 19 September lalu.
“Bagi negeri Terengganu sahaja, sebanyak 616 PJRM telah dilaksanakan, di mana 265 kali melalui kaedah secara dalam premis dan luar premis dan 351 kali secara bergerak,” katanya. – UTUSAN