KPDN, MyCC meterai MoU dengan badan berkuasa persaingan di Turkiye - Utusan Malaysia

KPDN, MyCC meterai MoU dengan badan berkuasa persaingan di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memeterai kerjasama dengan badan berkuasa persaingan di Turkiye iaitu Turkish Competition Authority (TCA).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Memorandum Persefahaman (MOU) merupakan MOU yang pertama ditandatangani oleh MyCC dengan agensi persaingan negara lain.

“MOU ini adalah langkah strategik yang bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua agensi dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan.

“Fokus utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan, terutama dalam menangani kes-kes antipersaingan yang dinamik, serta memperluas pertukaran maklumat dan kepakaran dalam pelbagai aspek undang-undang persaingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu,  KPDN mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Turkiye, Prof. Dr. Omer Bolat.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa serta pegawai kanan KPDN dan MyCC.

Pertemuan bagi membincangkan pelbagai perkara melibatkan aspek tanggungjawab yang berkaitan di antara kedua-dua kementerian seperti perdagangan dalam negeri, perlindungan pengguna, perundangan persaingan dan isu kos sara hidup.

Mengulas lanjut Armizan berkata, MyCC telah memainkan peranan penting dalam memastikan persaingan yang adil dan terbuka di Malaysia. 

“Sejak penubuhannya, MyCC telah menyiasat lebih 100 syarikat berkaitan pelbagai kes pelanggaran anti-persaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah. MOU antara MyCC dan TCA ini adalah langkah penting untuk memperkasa peranan MyCC dalam membantu kerajaan memerangi isu kartel dan monopoli.

“Dengan adanya kerjasama ini, kita dapat memastikan pasaran yang lebih kompetitif, inovatif, dan memberikan rakyat lebih banyak pilihan melalui persaingan yang sihat,” katanya.

Tambahnya, KPDN komited untuk terus memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang dan melindungi kepentingan pengguna.

“Kementerian akan terus berusaha untuk mewujudkan pasaran yang adil dan terbuka, di mana persaingan yang sihat dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN