KANGAR: Seorang kontrakor didakwa di Mahkamah Majistret 2, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bekas pelumba negara, Elly Idzlianizar Ilias, 40, di Taman Behor Gonchang Jaya, pada 10 September lalu.
Tertuduh, Ibrahim Johan,51, hanya menjawab faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, Ibrahim didakwa membunuh Elly Idzlianizar di simpang tiga Taman Behor Gonchang Jaya, di sini, antara 10 September sekitar pukul 10.30 malam sehingga 11 September, pukul 12.01 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta jika tidak dihukum mati hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.
Terdahulu, perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar, di sini, dipenuhi dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan tertuduh yang hadir bagi memberi sokongan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Po’ad mencadangkan tertuduh tidak dikenakan jaminan dan memohon satu tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik dan laporan kimia.
Tertuduh yang diwakili peguam, Tan Yen Sing bagaimanapun memohon budi bicara mahkamah bagi membenarkan ikat jamin walaupun anak guamnya itu didakwa atas Seksyen 302 KK memandangkan usianya 51 tahun dan turut mengalami beberapa penyakit seperti darah tinggi serta kencing manis.
Selain itu, peguam tertuduh turut memohon satu jaminan yang setimpal memandangkan tertuduh juga dikatakan mempunyai emosi yang tidak stabil selepas didakwa atas pertuduhan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 30 Disember bagi sebutan semula kes sementara menunggu semua laporan tersebut dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Elly disahkan maut dengan 12 kesan tetakan menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Taman Behor Gonchar Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop dilaporkan berkata, mangsa meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan teruk susulan kecederaan tetakan pada bahagian tangan dan badan.
Susulan itu, polis menahan tiga suspek berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun di lokasi berasingan.
Sementara itu, Yusharifuddin ketika dihubungi memberitahu, dua lagi suspek yang ditahan sebelum ini akan dijadikan saksi bagi kes itu.-UTUSAN