PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menyenarai hitam kontraktor dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang sambil lewa dalam penyediaan makanan kepada para pelajar.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tidak boleh menerima sikap segelintir kontraktor yang buat sambil lewa dan cincai apabila mengetahui kontrak bakal tamat.
“Syarikat seperti ini wajib disenarai hitamkan oleh Mara. Ini soal keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan anak-anak. Tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Apakah tidak ada sekelumit rasa gerun dengan setiap sen yang diperoleh daripada sikap kecurangan yang bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah tetapi melibatkan hak ratusan manusia yang teraniaya.
“Akhirnya, rezeki tiada barakah dan membawa kepada malapetaka,” katanya dalam Facebook, hari ini.
Sebelum ini, rata-rata komen ibu bapa dalam Facebook Asyraf Wajdi mendakwa penyediaan makanan kontraktor tidak mencapai kualiti ditetapkan sekali gus mahu tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Sementara itu, perkongsian beliau turut mendapat perhatian pengguna Facebook lain dan rata-ratanya menyokong tindakan tegas dilaksanakan segera tanpa kompromi. – UTUSAN