KM Gagah kembali meronda perairan Selat Melaka - Utusan Malaysia

KM Gagah kembali meronda perairan Selat Melaka

KAPAL Maritim (KM) Gagah yang siap menjalani proses penggantian jentera utama dan pasang pulih di limbungan UniKL MIMET di Lumut hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kapal Maritim (KM) Gagah yang berusia lebih 40 tahun berjaya melalui proses penggantian jentera utama dan pasang pulih (repowering and refit) bagi membolehkkannya beroperasi semula meronda di samudera negara.

Lebih membanggakan apabila proses selama 20 bulan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan di limbungan Universiti Kuala Lumpur – Institut Kejuruteraan Teknologi Marin (UniKL – MIMET) di sini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Kapten Maritim Mohd Rizal Hishamuddin berkata, KM Gagah kini berkeupayaan melakukan operasi di laut selama tujuh hari tanpa ulang bekal serta mampu mencapai kelajuan sehingga 21.7 knot.

“Kami berharap KM Gagah akan mampu memberikan nilai pulangan pelaburan (ROI) kepada kerajaan melalui penguatkuasaan yang bakal dijalankan khususnya di perairan Perak,” katanya berucap pada majlis penyerahan KM Gagah daripada UniKL Resources Sdn. Bhd. kepada Maritim di limbungan UniKL MIMET di sini hari ini.

KM Gagah yang dibina pada 1980 itu mulai beroperasi di bawah perkhidmatan Pasukan Polis Marin selama 26 tahun sebelum diserahkan kepada Maritim secara berperingkat bermula Jun 2005.

Menurutnya, kapal berukuran 39.5 meter panjang, tujuh meter lebar dan 221 tan berat itu mempunyai kapasiti 27 kru dan turut dilengkapi dengan sebuah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta radar i-band bagi memastikan pemantauan secara meluas dapat dilaksanakan di perairan negara.

Jelasnya, skop kerja utama dalam ‘repowering and refit’ itu antaranya ialah penggantian enjin dan penyelenggaraan struktur badan kapal serta pelbagai sistem sokongan utama merangkumi jentera mekanikal, sistem elektrikal dan elektronik, dan kelengkapan lain supaya jangka hayat kapal dapat dipanjangkan dan mampu beroperasi dengan lebih lama lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri & Institusi, UniKL, Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan, berkata, projek itu membuka peluang kepada 117 orang mahasiswa UniKL MIMET untuk mempelajari dan memahami kaedah sesuatu projek bertaraf industri sebenar, dilaksanakan melalui konsep ‘Teaching Factory’.

Katanya, ia memberikan mereka pendedahan secara langsung kepada proses dan teknologi yang digunakan dalam penyelenggaraan kapal.

Selain itu, beliau memaklumkan seramai sembilan orang protege dari alumni UniKL MIMET turut terlibat di dalam projek tersebut.

Sementara itu, Pengurus Besar UniKL Resources Sdn. Bhd, Anuar Berahim memaklumkan, KM Gagah telah siap dibaik pulih sepenuhnya di limbungan UniKL MIMET semalam dan telah melalui fasa ‘Harbour Acceptance Trial (HAT)’ pada 23 Ogos serta ‘Sea Acceptance Trial (SAT)’ pada 28 Ogos lalu di Selat Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN