KKM kesan lima produk komestik ada racun berjadual

KKM kesan lima produk kosmetik ada racun berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menggesa orang ramai untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Lima produk terbabit ialah Karisma Aqua Birds Nest yang mengandungi racun Hydroquinone, Skin Revolution-APA-Blemish Control Serum (Clindamycin dan Metronidazole), Skin Revolution-PAP-Blemish Fade Cream (Clindamycin dan Metronidazole), Ufora Daily Treatment 10g (Betamethasone 17-Valerate) dan Dnars Gold Debalen Cream (Night) (Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate).

Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Menurut KKM, produk yang mengandungi racun berjadual tersebut adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli
profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini antara seperti kemerahan pedih dan iritasi pada kulit,” kata KKM dalam kenyataan.

KKM menegaskan, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

Jelasnya, penjualan dan pengedaran produk kosmetik yang dikenalpasti itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau
kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar pengguna yang menggunakan produk kosmetik itu, segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN