Kisma Johar tidak kisah selalu diberi watak nenek - Utusan Malaysia

Kisma Johar tidak kisah selalu diberi watak nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENARLAH apa yang dikatakan, rezeki tidak salah alamat. Pada usia 72 tahun, pelakon veteran, Kismah Johar masih diberi kudrat untuk terus memeriahkan dunia seni tanah air.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini bersyukur kerana masih ditawarkan kerja lakonan meskipun kebanyakan watak yang sering diberikan kepadanya adalah karakter seorang nenek.

“Pada usia saya sekarang ini, sesuailah untuk bawakan watak nenek. Saya pun sudah kurang lakonkan watak ibu. Watak nenek pun bagi saya okey.

“Saya tak pernah rasa terkilan kerana diberikan watak yang sama. Malah saya reda dan berlapang dada. 

“Lagipun sepanjang hampir lima dekad saya bergelar pelakon, saya sudah rasa pengalaman melakonkan pelbagai watak yang berlainan peringkat umur. 

“Jadi tak menjadi masalah kalau penerbit selalu bagi saya watak nenek. Lagipun saya gembira sebab kena dengan realiti hidup yang juga seorang nenek,” katanya.

KISMAH JOHAR

Kismah menegaskan dia masih berkeinginan untuk berlakon. Katanya dia belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya yang dicintainya.

“Saya banyak tolak tawaran berlakon sepanjang 10 tahun memegang jawatan Pengerusi Yayasan Artis Veteran. 

“Selepas melepaskan jawatan itu pada Disember tahun lepas, saya sudah sedia untuk kembali aktif dalam dunia lakonan. Ada rakan industri yang memujuk saya agar memegang jawatan itu, tapi saya tolak. 

“Kalau saya teruskan, mungkin saya tak berkesempatan untuk berlakon. Cuma selepas kembali aktif, hanya kerja lakonan sekitar lembah klang yang saya terima. Usia sudah lanjut, saya pun tak larat nak merantau terlalu jauh,” katanya lagi. 

Kismah membawa saya mengimbau fasa permulaan, ketika dia mula-mula terjun ke dalam bidang lakonan lebih lima dekad lalu. 

Minat berlakon sedari usia kanak-kanak tertanam dalam diri pelakon berpengalaman ini. Malah, dalam kalangan adik beradiknya, hanya dia yang mewarisi darah seni keluarga dan meneruskan legasi ibunya.

“Arwah Ibu saya berketurunan Baba Nyonya dari Singapura. Usia mudanya banyak dihabiskan di pentas teater opera Cina. Bila berkahwin dengan arwah bapa saya dan memeluk Islam, dia berpindah ke Perak. Pembabitannya dalam dunia seni berakhir apabila dia bergelar isteri. 

“Boleh kata, saya satu-satu pewaris darah seni yang meneruskan legasi ibu. Abang saya berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi tidak pula menjadi seorang penyanyi,” kongsinya.

Kismah memulakan kerjaya lakonan pada usianya mencecah 30-an, sekitar tahun 1973. Ketika itu dia hanya berlakon secara separuh masa disebabkan masih berkhidmat dalam sektor kerajaan.

“Disebabkan terlalu minat, saya sanggup menggunakan semua cuti saya untuk melakukan kerja-kerja lakonan. 

“Saya berterus terang dengan majikan bahawa saya minat berlakon. Keinginan saya tidak pernah dihalang, malah saya dibenarkan untuk aktif berlakon asalkan tidak menganggu kerja hakiki di sektor kerajaan,” kongsinya.

JUMPA IDOLA

Kisma bersyukur kerana pembabitan dalam dunia seni menemukan dia dengan pelakon -pelakon yang pernah diidolakannya.

Katanya, antara nama-nama besar yang pernah ditemuinya adalah Datuk Sarimah Ahmad, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Aziz Sattar, Kuswadinata, Rosnani Jamil dan ramai lagi. 

“Pelakon lama tak kedekut ilmu, malah sedia berkongsi pengalaman. Banyak pengalaman manis bersama mereka. 

“Antara yang saya ingat adalah arwah Kuswadinata yang pandai menghasilkan sambal belacan dan sering menjamunya dengan rakan-rakan di set penggambaran.

“Selain itu, banyak juga kenangan manis ketika berlakon dengan Sarimah di Perlis. Beliau orangnya setiap pagi rajin membaca Al-Quran,” katanya.

PENGALAMAN SERAM

Lebih 50 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, tentunya banyak pengalaman menarik yang Kismah kongsikan untuk tatapan pembaca.

Antara yang rancak dibualkan adalah pengalaman seram bersemuka dengan makhluk halus ketika pelakon ini menjalani penggambaran di Johor satu ketika dahulu.

“Kejadian ini berlaku apabila saya sampai ke tempat penginapan selepas pulang dari menjalani penggambaran sebuah drama.

“Ketika sedang mengemas bonet kereta, tiba-tiba saya terpandang makhluk berjuntai di atas sebatang pokok besar dihadapan saya. 

“Tanpa membuang masa, saya campak semua barang ke dalam bonet kereta dan segera masuk ke dalam rumah kerana ketakutan,” katanya.

Selain itu, Kismah juga sempat menceritakan pengalaman bertemu hantu Penanggal ketika mengikuti penggambaran sebuah drama di sebuah perkampungan Orang Asli berdekatan Raub, Pahang. 

Katanya, itu adalah pengalaman pertama dan terakhir dia berhadapan dengan makhluk berkenaan.

“Kejadian ini pula berlaku sekitar tahun 90-an. Ketika itu saya sedang mengikuti penggambaran sebuah drama arahan T.S Jeffry.

“Disebabkan rangkaian telefon yang lemah di kawasan perkampungan Orang Asli itu, saya terpaksa memandu berseorangan untuk pergi ke pekan berdekatan yang tempoh perjalanannya mengambil sekitar satu jam semata-mata untuk membuat panggilan telefon. 

“Malangnya, ketika dalam perjalanan kembali ke lokasi penggambaran, saya terserempak dengan hantu penanggal yang berlegar dihadapan saya dengan perut berjurai.

“Hanya Allah sahaja tahu betapa takutnya saya ketika itu, sehingga saya menangis teresak-esak sehingga sampai ke lokasi penggambaran. Itulah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai ke hari ini,” kongsinya.

IKLAN CALTEX

Selain berlakon drama dan filem, pelakon veteran ini sering menjadi pilihan berlakon iklan dalam dan luar negara. 

Kismah sempat berkongsi cerita mengenai pengalamannya terbang ke Afrika Selatan untuk menjayakan iklan syarikat pengeluar minyak terkemuka, Caltex. 

“Pengalaman ini berlaku pada tahun 2003, saya bersama beberapa pelakon berlainan bangsa yang lain diterbangkan ke negara tersebut untuk menjalani penggambaran di taman safari di negara itu.

“Ini juga pengalaman yang tidak dapat saya lupakan kerana penggambaran tersebut turut membabitkan haiwan liar termasuk lapan ekor singa.

“Ketika itu kami berada dalam jeep safari sambil menyaksikan singa-singa tersebut mengelilingi kenderaan kami. Itu antara penggambaran yang paling memenatkan apabila kami terpaksa bertahan satu hari suntuk di kawasan yang didiami haiwan liar,” kongsinya.

PENCINTA KUCING

Selain berlakon, Kismah juga gemar memelihara kucing dan rajin menyelamatkan kucing terbiar. 

Katanya, dia memiliki 10 ekor kucing yang dijaga dengan baik dan ditempatkan dalam sangkar yang dibina khas di pekarangan kediamannya.

“Sebelum ini saya pelihara 20 ekor kucing. Tetapi banyak yang mati dan kini hanya tinggal 10 ekor sahaja. 

“Kucing adalah terapi membahagiakan saya. Setiap bulan saya akan membelanjakan sekitar RM800 untuk keperluan makanan dan minuman serta penjagaan kucing-kucing saya. Tambahan pula, saya bagi kucing-kucing saya minum air mineral sahaja supaya mereka sihat. Jadi kos menjaga mereka juga tinggi.

“Jaga kucing ini memang mencabar. Kita kena jaga makan minumnya dan pastikan kucing-kucing ini sentiasa sihat. Kalau sakit, kos rawatan yang ditanggung pemiliknya adalah sangat tinggi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya