Kim Kardashian, bekas suami antara penerima dana 1MDB - Ketua Penyiasat

Kim Kardashian, bekas suami antara penerima dana 1MDB – Ketua Penyiasat

Kim Kardashian dan bekas suaminya, Kris Humphries
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nama pempengaruh dan selebriti mega Hollywood, Kim Kardashian dan bekas suaminya, Kris Humphries disebut-sebut di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selaku pihak yang menerima wang berjumlah AS$406,000 (RM1.77 juta) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyiasat penipuan kewangan, Richard Templeman berkata, wang itu didakwa dipindahkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Kim sebanyak AS$306,000 manakala AS$100,000 lagi kepada selebriti itu dan bekas suaminya.

Beliau yang mengetuai siasatan penyelewengan dana 1MDB dan SRC International berkata, Jho Low yang didakwa menjadi dalang di sebalik penipuan kewangan global turut memindahkan AS$2,025,000 kepada penyanyi dan komposer Amerika Syarikat, Pharrell Williams melalui Talamasca Inc.

“Siasatannya mendedahkan bahawa Jho Low memindahkan berjuta-juta dolar, yang didakwa diterima daripada 1MDB, melalui syarikat samarannya, Good Star Ltd.,” ujar beliau dalam pernyataan saksinya.

Perkara itu didedahkan ketika memberikan keterangan daripada pejabatnya di United Kingdom (UK) dalam kes saman AS$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Richard mempunyai pengalaman 24 tahun dalam menyiasat penipuan jenayah kewangan yang kompleks memberi keterangan sebagai saksi plaintif pertama pada prosiding perbicaraan yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Richard berkata, Jho Low memperoleh dana itu daripada perjanjian usaha sama di antara 1MDB dengan PetroSaudi Limited, di mana AS$1.03 bilion telah diseleweng dan dipindahkan secara curang kepada Good Star.

Menurut saksi, pada 25 Oktober 2011, 1MDB memindahkan sejumlah AS$1.03 bilion ke dalam akaun Good Star untuk manfaat penyangak kewangan itu.

Beliau berkata, dana itu dipindahkan melalui beberapa siri kepada syarikat luar pesisir dan digunakan untuk, antara lain, manfaat peribadi rakan konspirasi, saudara-mara dan sekutu mereka.

“Good Star juga memindahkan AS$13.5 juta ke akaun Bank Riyad atas nama Putera Faisal Bin Turki Al-Saud dan Putera Saud Bin Abdulaziz Al-Saud (dikenali sebagai akaun Al-Saud) dalam dua peringkat, iaitu AS$12 juta pada 10 Jun 2011, dan AS$ 1.5 juta pada 30 Jun 2011.

“Pada 13 Jun 2011, sejurus selepas menerima AS$12 juta daripada Akaun Good Star, AS$10 juta dipindahkan daripada Akaun Al-Saud ke akaun AmBank (AmPrivate Banking-MR) milik Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya menyemak penyata bank untuk akaun AmBank Najib dan dapat memadankan kira-kira jumlah masuk dalam Ringgit Malaysia dengan transaksi yang dinyatakan dibayar dalam Dolar AS dengan menggunakan penukaran mata wang,” katanya.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang kemudian ditukar kepada Brazen Sky Limited investment, dan dikatakan boleh didapati dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd. Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah AS$3.5 bilion, yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd. Irwan turut bersekongkol dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membayar jumlah yang besar, iaitu RM2,905,200 kepada Arul Kanda mengikut perjanjian itu, tanpa mengira kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian serta kerosakan.

Justeru, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion bagi pelanggaran itu dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berhubung Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN