PETALING JAYA: Usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Amin mengambil keputusan untuk menutup kilang selama lima hari untuk membawa 100 kakitangannya bercuti di Pulau Pinang.
Menurut catatan X milik usahawan Sambal Nyet itu, beliau berbuat demikian untuk memastikan semua kakitangan dapat berehat dan cuti dengan gembira.
Malah katanya, semua petugas bukan sahaja dapat menikmati penginapan di hotel lima bintang malah diberikan duit poket untuk membeli-belah.
“Kita tutup kilang selama 5 hari untuk bawa kesemua 100 staff Khairul Aming bercuti di Penang
“Semua staff dapat hotel 5 star bilik seaview, duit poket untuk shopping, main escape park, parasailing, banana boat, jetski, explore bandar Georgetown, makan nasi kandar, grand dinner dan macam-macam lagi.
“Yang penting semua staff dapat berehat and bercuti dengan happy,” tulisnya.
Perkembangan itu bukan perkara baharu apabila Khairul Aming pernah menutup kilangnya selama lima hari bagi merealisasikan hasrat percutian bersama kakitangan ke Pulau Langkawi pada 2023.
Sebelum ini, Khairul Aming telah membuat kejutan raya kepada pekerjanya dengan membawa mereka membeli-belah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri serta berbuka puasa di hotel dan memberi bonus hari raya. – UTUSAN