Ketua Polis Perak 'sekolahkan' mat rempit - Utusan Malaysia

Ketua Polis Perak ‘sekolahkan’ mat rempit

PENUNGGANG motosikal yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Taman Klebang Ria di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekumpulan ‘mat rempit’ diberi pengajaran apabila bukan sahaja perlu menolak motosikal sejauh kira-kira lima kilometer, malah turut diberikan nasihat oleh Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Kesemua mereka yang dibawa ke Balai Polis Kampung Tawas itu diberi teguran dan amaran agar tidak lagi mengulangi perbuatan sama sebelum dibenarkan pulang menjelang pukul 12 tengah malam.

Menurut Azizi, sebagai ketua polis, beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menegur orang ramai khususnya remaja agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram.

“Saya tahu apa yang saya cakap malam ini ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Namun, sebagai ketua polis dan orang yang lebih tua, saya minta hentikan perbuatan ini (berlumba) atau menonton orang berlumba.

“Saya beri nasihat ini seperti bapa, jadi sebagai bapa sudah tentu saya sedih dan marah melihat anak saya berada di sini (ditahan).

“Di luar sekarang pun ramai ibu bapa yang sedang tunggu, sebab esok ada antara kamu yang akan ambil peperiksaan jadi tak kan malam ini kamu nak tidur di lokap,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kampung Tawas di sini semalam.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita Azizi berkata, seramai 136 individu berusia antara 12 hingga 45 tahun ditahan untuk pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Klebang Ria, Taman Klebang Ria di sini bermula pukul 3 petang semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 69 orang adalah pelajar sekolah dengan 22 daripada mereka merupakan pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Katanya, semasa operasi dijalankan, kumpulan pelajar sekolah itu dikesan berkumpul menyaksikan aksi perlumbaan yang dipertontonkan samseng jalanan.

“Dalam operasi ini, kita menahan 101 motosikal untuk pemeriksaan dan daripada jumlah itu, 20 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

“Kita juga mengeluarkan 168 keping saman kepada mereka di mana kesalahan paling serius dikesan adalah membabitkan tiada lesen memandu diikuti tiada cermin sisi dan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya.

Tambah beliau, dalam operasi sama, dua lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya.

Katanya, ujian saringan air kencing dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati dua lelaki positif dadah methamphetamine manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 11 kompaun kepada pemilik motosikal atas kesalahan gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan.

“Dalam operasi ini, seorang anggota polis berpangkat koperal cedera ringan selepas terjatuh dilanggar motosikal ketika pemeriksaan dijalankan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, lokasi operasi merupakan kawasan panas yang sering dijadikan ‘litar lumba’ oleh golongan mat rempit membabitkan ramai penonton.

“Operasi ini dijalankan berikutan aduan awam mengenai aktiviti lumba motosikal di kawasan itu yang mengundang rasa tidak selesa dan takut kepada pengguna jalan raya lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN