KUBANG PASU: Berketinggian kira-kira 1.97 meter dengan kasut bersaiz 15, kelibat Muhammad Adam Daniel Fadzil, 17, sering mencuri perhatian ramai walaupun ke mana jua dia pergi.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera, di sini itu memberitahu, saiz badannya ibarat gabungan adik beradiknya yang berbadan besar tetapi rendah dan yang kurus tinggi.
Muhammad Adam Daniel berkata, dia yang memiliki berat badan 130 kilogram (kg) itu memang sudah biasa menjadi perhatian ramai termasuk dalam kalangan rakan-rakan sekolah.
“Dalam adik beradik, ada yang berbadan besar tetapi rendah. Ada pula yang kurus tetapi tinggi manakala saya pula ibarat gabungan kepada kedua-duanya iaitu tinggi dan besar dan dalam kami empat beradik, sayalah paling tinggi,” katanya.
Pelajar berkenaan ditemui ketika Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membuat tinjauan di sekolah itu yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.
Katanya, dia juga gembira kerana berpeluang bergambar dan beramah mesra dengan Muhammad Sanusi yang sering dilihat di televisyen dan media sosial sebelum ini.
“Saya bersama rakan-rakan saja datang ke bahagian depan sekolah yang menempatkan khemah untuk mangsa banjir setelah ternampak ramai orang di sini.
“Tiba-tiba saya dipanggil untuk bergambar dengan Menteri Besar dan dapat bersembang dengannya. Beliau turut bertanyakan beberapa soalan seperti tinggi, berat dan dan saiz kasut. Malah, beliau menasihatkan jawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan baik,” katanya.
Tambah Muhammad Adam, sesi pembelajaran di sekolah itu juga tidak langsung terjejas walaupun dijadikan lokasi PPS, malah rumahnya turut tidak dilanda banjir. – UTUSAN