Kesuma perhebat inisiatif bendung kadar guna tenaga tak sepadan kemahiran

Kesuma perhebat inisiatif bendung kadar guna tenaga tak sepadan kemahiran

STEVEN Sim Chee Keong (dua dari kiri) bersalaman dengan Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Majlis Perasmian Program YES! Rock the School Edisi Mega Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, Pulau Pinang ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kini sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan isu kadar guna tenaga tidak sepadan kemahiran dalam kalangan graduan tempatan dapat diatasi dengan lebih efektif.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, isu guna tenaga tidak sepadan atau ‘underemployment’ itu telah membelenggu negara sejak pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pada suku tahun kedua tahun ini, kadar guna tenaga tidak penuh berada pada tahap 37 peratus berbanding 32.8 peratus bagi tempoh yang sama kira-kira lima tahun yang lalu.

“Oleh itu, tidak mustahil andai isu ini boleh menjadi ‘barah’ dalam jangka masa panjang susulan bakat yang sepatutnya berada dalam industri dengan kemahiran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau universiti tidak berada di tempat yang sewajarnya.

“Dalam hal ini, kebanyakannya dilihat tidak mempunyai maklumat dan kemahiran yang khusus untuk membantu transisi pengajian ke pekerjaan seperti kemahiran insaniah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program YES! Rock The School Edisi Mega Pulau Pinang 2024 di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan program tersebut ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut membayangkan andai lima peratus daripada tenaga kerja, iaitu kira-kira 750,000 pekerja berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh ketika ini.

Katanya, jika produktiviti mereka berkurangan sebanyak 20 peratus kerana kemahiran mereka tidak sesuai dengan pekerjaan, ia bersamaan dengan negara kehilangan produktiviti seramai 150,000 pekerja.

“Keadaan ini juga boleh menyebabkan berlakunya penurunan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) iaitu sebanyak 1 hingga 1.5 peratus atau sekitar 4.2 bilion hingga 6.3 bilion dolar Amerika (USD) dalam output ekonomi setiap tahun.

“Justeru, Kesuma menerusi TalentCorp menjalankan inisiatif YES! Rock The School ini bagi melengkapkan anak-anak muda bagi membantu ke arah laluan kerjaya yang berjaya.

“Selain itu, kita akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat terlatih bagi memenuhi keperluan ekonomi negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya