Kesesakan penjara di Malaysia sekitar 11 peratus - Utusan Malaysia

Kesesakan penjara di Malaysia sekitar 11 peratus

NORDIN Muhamad (dua kanan) menyampaikan Sijil Pentauliahan Siskor kepada pelatih pasukan sukarelawan itu di UUM hari ini. Turut serta, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Fo'ad Sakdan (dua kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kadar kesesakan penjara di negara ini masih terkawal iaitu pada tahap 11 peratus berbanding 20 peratus yang ditetapkan di peringkat antarabangsa susulan langkah diambil bagi mengawal situasi itu.

Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad berkata, antara inisiatif diambil adalah mewujudkan kapasiti tambahan dengan kos efisien termasuk mengambil alih kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk dijadikan penjara penerimaan dan pusat reintegrasi penghuni.

Dalam masa sama, Jabatan Penjara turut memberi keutamaan terhadap usaha mengurangkan kadar kemasukan semula dengan menyediakan pelbagai program berfasa yang setakat ini menampakkan hasil positif.

“Selain itu kita juga terus memperkasakan program pemulihan dalam komuniti untuk prospek pra bebas. Kesinambungan program pemulihan itu bukan saja selari dengan agenda untuk menempatkan dua per tiga daripada jumlah banduan yang layak menjalani latihan dalam komuniti menjelang 2030.

“Malah akan mengurangkan kesesakan penjara sekali gus mengurangkan kos operasi ditanggung kerajaan,” katanya pada Majlis Pentauliahan Pasukan Sukarelawan Siswa/Siswi Koreksional (Siskor) 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 270 pelajar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Universiti Malaysia Perlis (Unimap); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan UUM ditauliahkan setelah menamatkan latihan selama dua tahun.

Mengulas lanjut Nordin berkata, data terkini menunjukkan hanya satu peratus daripada prospek yang menghabiskan baki hukuman dalam komuniti, ‘kembali’ ke penjara berbanding 17 peratus yang dibebaskan tanpa melalui program bersama komuniti.  

“Kesemua prospek itu menghabiskan baki hukuman dalam komuniti melalui pelepasan secara perintah parol, pelepasan banduan secara lesen (PBSL) serta perintah kehadiran wajib (PKW).

“Dalam konteks ini, Jabatan Penjara telah memenuhi piawaian antarabangsa yang menetapkan kadar residivis (kemasukan semula) sebanyak 20 peratus.

“Hasil ini berjaya dicapai menerusi perancangan pembebasan prospek secara teliti dengan mereka dipastikan mempunyai penempatan, pekerjaan serta sokongan komuniti sebelum diberikan pembebasan lebih awal,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya