Keselamatan nelayan di Laut China Selatan terjamin- Mat Sabu

Keselamatan nelayan di Laut China Selatan terjamin- Mat Sabu

MOHAMAD Sabu beramah mesra bersama deligasi dari negara Rusia yang turut menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa keselamatan nelayan di Laut China Selatan akan terjamin.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan di kawasan perairan berkenaan masih selamat dan pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden melibatkan nelayan.

“Masyarakat diminta tidak mengembar-gemburkan isu keselamatan nelayan di perairan Laut China Selatan.

“Nelayan tidak ada masalah. Setakat ini saya belum terima laporan gangguan kepada nelayan.

“Insya-Allah penyelesaian pertelingkahan ini kita akan selesaikan melalui saluran diplomatik, kerajaan mampu untuk selesaikannya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat beberapa laporan pencerobohan kapal Tentera Laut dan Pengawal Pantai China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia sejak kebelakangan ini.

Terdahulu dilaporkan, Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dalam isu ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membincangkan perkara tersebut secara khusus.

“Sebarang isu berbangkit akan diuruskan melalui saluran diplomatik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN