Kes warga Israel: Pendakwa mohon rakaman CCTV tidak didedahkan Kes warga Israel: Pendakwa mohon rakaman CCTV tidak didedahkan

Kes warga Israel: Pendakwa mohon rakaman CCTV tidak didedahkan

Warga israel yang menghadapi pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru, Avitan Shalom ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes warga Israel, Avitan berkaitan senjata api dan peluru memohon rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kes itu tidak didedahkan kepada umum.

“Untuk tujuan rekod, pihak pendakwaan mohon CCTV yang diserahkan kepada peguam tidak didedahkan kepada mana-mana pihak atau umum,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid.

Tambahnya, rakaman CCTV itu hanya boleh dijadikan rujukan kepada saksi pakar pada perbicaraan yang akan bermula kelak.

Perkara itu dimaklumkan semasa sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Norina Zainol Abidin, hari ini.

Mendengar perkara itu, peguam bela, Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan tidak membantah dan menyatakan hanya akan menunjukkan rakaman CCTV pada saksi pakar tanpa didedahkan kepada umum.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan telah selesai menyerahkan kesemua dokumen berkaitan kes termasuk laporan CCTV dan analisis laporan forensik kepada pihak pembelaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dijadualkan semula.

Ini berikutan salah seorang Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dalam kes ini terlibat dengan satu lagi perbicaraan iaitu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bertindih dengan perbicaraan Avitan.

Sebelum ini, tarikh-tarikh perbicaraan ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung 7 hingga 11 Oktober. 

“Pihak pendakwaan memohon 30 September yang merupakan hari pertama perbicaraan, dijadikan sebagai sebutan kes untuk pihak-pihak menjadual semula tarikh-tarikh perbicaraan,” kata Rullizah. 

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Norina menetapkan 30 September ini bagi sebutan semula kes dan penetapan tarikh perbicaraan baharu.

Avitan, 38, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co. Ltd. mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN