Kes tragis Sungai Penchala: Penganggur mengaku bunuh ibu bapa

Kes tragis Sungai Penchala: Penganggur mengaku bunuh ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan berasingan membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala, hujung tahun lalu.

Afendi Muhammad Agus, 43, membuat pengakuan itu selepas kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim K. Muniandy.

Tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah meskipun selepas diberi penjelasan sebab dan akibat pengakuan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara di antara 30 dan 40 tahun serta 12 kali sebatan minimum.

Seksyen berkenaan tidak lagi memperuntukkan hukuman mati mandatori berikutan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai 2023 dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) pada 12 September 2023.

Terdahulu, Hakim Muniandy meminta peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli mendapatkan kepastian tertuduh sama ada anak guamnya berhasrat mengekalkan pengakuan bersalah.

Mahkamah kemudian merekodkan bahawa tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan serta hukuman di bawah Seksyen 302.

Pada prosiding itu, peguam turut memaklumkan beliau baru dilantik oleh pihak mahkamah minggu ini untuk mewakili tertuduh.

“Saya baru bertemu anak guam dan perlu masa untuk membincangkan mengenai pengakuan bersalahnya selain perlu meneliti dokumen berkaitan kes,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk serahan dokumen.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 10 Oktober ini untuk pengurusan kes. Afendi dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 15 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pada pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.

Pada 9 Disember 2023, media melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkai penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini.

Suspek anak ketiga dari empat adik beradik dipercayai baru diikat jamin oleh bapanya atas kesalahan jenayah. Hasil siasatan polis kemudian mengesahkan suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN