PETALING JAYA: Tiga individu yang sebelum ini ditahan dipercayai berkaitan jenayah seksual membabitkan sebuah rumah amal melibatkan Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sebelum ini telah membuka empat kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan mendapat kebenaran dari Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi menuduh ketiga-tiga individu terbabit
dengan 14 pertuduhan.
Katanya, ketiga-tiga individu terbabit berusia 20 hingga 22 tahun itu akan dituduh pada pukul 8.30 pagi esok.
“Individu pertama berusia 21 tahun akan didakwa dengan lima pertuduhan iaitu satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta 792 manakala empat lagi di bawah Seksyen 14(a) Akta 792.
“Seorang lagi lelaki berusia 20 enam pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta 792 manakala individu ketiga berusia 22 tahun akan didakwa dengan tiga pertuduhan dengan seksyen sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
13 September lalu, media melaporkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat.
Razarudin dilaporkan berkata, ia berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu.
Pada awalnya, laporan polis diterima di Negeri Sembilan dan Selangor, terdapat empat mangsa mendakwa diliwat.
“Dalam fasa kedua siasatan, kita menemu bual mangsa dan mendapati sembilan lagi dipercayai menjadi mangsa liwat,” katanya. – UTUSAN