TENOM: Pengadu yang juga saksi kesembilan kes dakwaan seksual pendakwah terkenal Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa, mesej ‘gemuk’, ‘nanti nampak jerawat’ yang dihantar kepada pendakwah itu bukan untuk berbincang mengenai imej badannya.
Sebaliknya kata saksi itu, mesej tersebut dihantar kepada Ebit kerana dia mahu mengelak daripada tertuduh terus meminta gambarnya.
Itu antara kandungan mesej yang dihantar oleh pengadu pada 29 Mac 2021 kepada Ebit seperti yang direkodkan dalam laporan forensik digital (ID-55).
Pengadu tidak bersetuju apabila dikatakan dia berada pada tahap selesa semasa berbual mengenai dirinya yang gemuk dan nampak jerawat.
Malah, pengadu juga tidak setuju dengan pertanyaan peguam bela, Datuk Ram Singh bahawa dia seorang yang mudah didekati kerana mudah berbincang tentang imej diri dan imej badannya dengan orang lain.
Biarpun pada akhirnya, pengadu mengakui ada menghantar gambar wajah dan badan kepada Ebit, namun dakwanya, dia buat begitu kerana terpengaruh dan terikut-ikut dengan permintaan Ebit.
Melalui mesej pada 5 April 2021 dalam ID-55, pengadu turut menyatakan dia bersetuju bahawa mesej ‘Buat taubat nasuha awak, sama sama kita. Insya-Allah saya akan jaga aib ini’ menunjukkan ada penyesalan dan konflik moral dalam dirinya.
Katanya, dalam mesej ‘Awak baik, anggap ini ujian. Dengan saya tidak apa, jangan buat lagi dengan orang, bahaya awak. Nama awak terkenal’, dia tidak setuju bahawa mesej berkenaan menunjukkan kerelaannya terhadap Ebit.
Malah, pengadu juga tidak setuju bahawa perbuatannya menghantar gambar tidak senonoh telah menyimpang daripada tujuan asal untuk menyertai Program Keluarga Sunnah.
Mengulas lanjut katanya, tidak ada pujukan daripada pihak luar sama ada suaminya, Akhi Fairuz atau Firdaus Wong yang mendorongnya buat laporan polis terhadap Ebit.
Pengadu memberitahu bahawa dia tidak bersetuju dengan pertanyaan peguam bahawa ada pihak luar yang memujuknya untuk buat laporan polis mengenai gangguan seksual berkenaan.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak dan Kamarudin Mohmad Chinki.-UTUSAN