PUTRAJAYA: Kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas sehingga menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati oleh ejen atau sindiket merupakan antara masalah utama yang berlaku sehingga membuka ruang kepada sindiket untuk membawa masuk warga asing dengan menggunakan modus operandi ‘counter setting’.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti dan menyenaraikan sebanyak 11 masalah utama dan kelemahan dalam agensi penguatkuasaan tersebut.
Menurut beliau, antara kelemahan lain termasuk pusingan tempat kerja bagi pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 yang tidak sistematik.
“Ini menyebabkan pihak ejen dan sindiket senang untuk berurusan dengan pegawai penyelia mahupun pegawai yang menjaga kaunter kerana mereka terlebih dahulu mengetahui pegawai ini akan bertugas di kaunter mana dan akan berlakunya ‘counter setting’.
“Kita turut mengesan masalah utama dari segi kurang pemantauan dan penyeliaan, terdapat ‘loophole’ dalam kaedah kerja dan sistem pemeriksaan ke atas kemasukan warga asing yang mudah untuk dimanipulasi dan susah untuk membuat semakan semula,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan turut mendapati wujud amalan dalam pegawai imigresen yang menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang tidak menepati syarat kemasukan.
Selain itu, katanya, persekitaran tempat kerja di pintu masuk KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 itu sendiri dikesan terdapat pegawai imigresen yang memberi dan membayar rasuah dalam kalangan mereka.
“Siasatan mendapati wujud amalan dalam pegawai imigresen yang menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang tidak menepati syarat kemasukan.
“Ketiadaan SOP (prosedur operasi standard), pengawasan yang ketat dan pihak Jabatan Imigresen (JIM) perlu bertanggungjawab buat operasi besar-besaran untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.
Tambah beliau, SPRM juga mendapati tiada pemantauan atau tapisan pihak ketiga membabitkan semakan dokumen tiket pulang warga asing dan penginapan mereka sepanjang tempoh berada di Malaysia, selain jumlah habuan rasuah yang lumayan.
Justeru, katanya, SPRM mencadangkan kepada JIM agar para pegawai yang bertugas di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 termasuk penyelia tidak dibolehkan membawa telefon bimbit ketika bertugas bagi mengelak mudah dihubungi oleh pihak lain.
“Perlu diwujudkan jaringan perhubungan komunikasi lain sepanjang bertugas. Manakala, jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter. Mungkin penetapan boleh dibuat oleh pihak lain,” katanya. – UTUSAN