Kerjasama Malaysia, KAI beri kelebihan pemain industri tempatan

Kerjasama Malaysia, KAI beri kelebihan pemain industri tempatan

MOHAMED Khaled (dua kanan) menyaksikan pemeteraian kontrak peringkat kedua bagi pembangunan ICP antara KAI dan Ikramatic di Jinju, Korea Selatan. - Foto oleh IHSAN KAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JINJU, KOREA SELATAN: Kerjasama yang terjalin antara kerajaan Malaysia dan Industri Aeroangkasa Korea (KAI) menerusi perolehan 18 unit pesawat pejuang ringan FA-50M membolehkan pemain industri tempatan menikmati manfaat menyeluruh.

Dalam konteks ini, syarikat tempatan iaitu Ikramatic Systems Sdn. Bhd. telah menandatangani kontrak peringkat kedua bagi Industrial Collaboration Programme (ICP) di bawah kontrak perolehan 18 pesawat jenis Fighter Lead In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT LCA).

Pengarah Eksekutif Ikramatic, Syed Mohamad Ikram berkata, ICP itu membolehkan pihaknya memeterai kontrak dengan KAI bagi membangunkan dua buah simulator penerbangan jenis Full Mission Simulator (FMS) dan Operational Flight Trainer (OFT) secara bersama (co-development).

Katanya, kedua-dua simulator itu bakal digunakan bagi melatih juruterbang pesawat FLIT-LCA FA-50M di dalam negara menjelang 2026.

“Kelebihan dinikmati ialah dapat belajar cara bagaimana syarikat luar negara membuat simulator dan secara tidak langsung mengetahui tentang kekurangan pada pengetahuan dan pengalaman kami.

“Melalui program ini, kami yakin bahawa rahsia atau teknik digunakan KAI boleh menambah baik kualiti sebagai pembuat sistem simulator tempatan kepada tahap lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di KAI di sini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan proses memeterai kontrak peringkat kedua antara Ikramatic Systems Sdn. Bhd. dan KAI bagi pelaksanaan ICP.

Untuk rekod, Ikramatic merupakan sebuah syarikat pembina simulator penerbangan tempatan yang menerima manfaat ICP perolehan berskala besar selepas melalui proses pemilihan yang ketat oleh KAI.

Syed Mohamad berkata, semasa KAI membuat audit ke syarikatnya, mereka percaya Ikramatic mempunyai pengalaman dan kualiti baik sebagai sebuah syarikat.

“KAI memilih kami sebagai salah satu pengeluar global untuk projek yang diterima mereka kerana kami bukan syarikat Korea Selatan,” katanya.

Pada Disemebr tahun lepas, Ikramatic telah menandatangani kontrak peringkat pertama dan dilantik menjadi vendor kepada KAI bagi projek luar negaranya.

Ikramatic telah selesai menjalankan fasa pertama reka bentuk simulator FA-50M pada suku pertama tahun 2024 dan kini berada pada peringkat akhir bagi fasa kedua reka bentuk sebelum beralih ke fasa pembinaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN