Kerjasama Malaysia-China banteras judi dalam talian nampak hasil

Kerjasama Malaysia-China banteras judi dalam talian nampak hasil

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucaptama pada Persidangan Global Public Security Cooperation 2024, di sini, hari ini. PEJABAT TIMBALAN PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Kerjasama Malaysia-China dalam memerangi perjudian dalam talian dan judi haram menampakkan hasil dengan tangkapan warga republik itu di Malaysia semakin menurun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan itu dicapai menerusi perkongsian perisikan, penyelarasan operasi penguatkuasaan dan pembentukan pasukan petugas bersama untuk menangani sindiket perjudian rentas sempadan.

Selain itu, jelasnya, kerjasama termasuk latihan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan undang-undang bagi memerangi keganasan, siasatan jenayah serta jenayah ekonomi.

“Kami sudah mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja untuk Rangka Kerja Keselamatan Negara bagi mengukuh rangka kerja dan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama rentas sempadan.

“Perjanjian kami dengan China dalam memerangi perjudian dalam talian dan judi haram sudah menampakkan hasil. Bilangan tangkapan warga China di Malaysia menurun daripada 1,225 pada 2020 kepada 79 pada 2023,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 di wilayah Jiangsu, China, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam rangka lawatan kerja ke China hingga Khamis ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggalakkan polis antarabangsa (Interpol) yang memerangi jenayah individu dan terancang supaya melabur dalam kepolisan moden dan peralatan canggih.

“Selain itu, melaksanakan mekanisme global menerusi pengecaman wajah dan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih boleh meningkatkan keupayaan pencegahan jenayah dengan mengurangkan masa tindak balas serta meningkatkan ketepatannya. Inovasi sedemikian penting untuk menangani aktiviti jenayah dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, usaha menangani jenayah rentas sempadan menuntut kerjasama antarabangsa supaya penyelarasan dan strategi yang lebih komprehensif dibuat dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, penyelarasan tersebut perlu membabitkan kerjasama daripada semua pihak membabitkan agensi kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang sekali gus ancaman negara dapat diatasi dengan lebih cekap dan tepat.

“Usaha menangani jenayah rentas negara memerlukan usaha daripada semua pihak di peringkat nasional, ia memerlukan kerjasama antarabangsa yang kukuh. Agensi penguatkuasaan undang-undang, kerajaan dan organisasi antarabangsa mesti berkongsi risikan, mengukuhkan rangka kerja undang-undang dan membina kapasiti untuk menangani ancaman rentas sempadan ini dengan berkesan.

“Tindak balas kita mesti pantas, diselaraskan dan kita tidak mampu untuk bekerja secara berasingan. Kita perlu melabur dalam teknologi canggih, meningkatkan perkongsian maklumat rentas sempadan, dan membina perkongsian yang kukuh untuk menentang rangkaian jenayah ini,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, langkah dan pendekatan perlu disusun dengan lebih strategik bagi membanteras jenayah rentas negara yang dilihat menjana RM6.95 trilion hingga RM9.56 trillion setiap tahun sekali gus memerlukan memerlukan respons pantas dari semua negara.

Dalam hal ini, katanya, Malaysia menzahirkan komitmen memperluas perkongsian keselamatannya di seluruh dunia dengan mengajak lebih banyak negara tampil bekerjasama bagi menjamin keselamatan global khusus dalam menangani jenayah rentas sempadan yang semakin meluas dan mencabar.

“Contohnya, dalam menangani pemerdagangan manusia secara berkesan, kita mesti meningkatkan kerjasama antarabangsa melalui platform seperti ASEANAPOL (polis ASEAN) untuk membangunkan dan melaksanakan strategi paling berkesan dalam memerangi isu serius ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Malaysia dan China telah menandatangani perjanjian dalam meningkatkan kerjasama mencegah dan membanteras jenayah transnasional, dengan tumpuan mengukuh kerjasama dalam bidang seperti perisikan berkaitan keganasan, kawalan sempadan dan memerangi penipuan telekomunikasi, perjudian dalam talian, pengedaran dadah, penyeludupan dan pengubahan wang haram. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN