PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) bagi mengkaji semula perundangan dan penguatkuasaan berkaitan e-dagang.
Menterinya, Datuk Armizan Ali berkata, hasrat itu dikemukakan dalam satu pertemuan bersama Setiausaha Agung UNCTAD, Rebeca Grynspan di Geneva dengan badan itu telah memberikan persetujuan secara prinsip.
Menurutnya, UNCTAD juga menyifatkan usaha itu sejajar dengan fokus badan dunia berkenaan untuk membantu negara-negara membangun bagi mendapat manfaat melalui pengintegrasian kepada sistem perdagangan antarabangsa, meningkatkan akses kepada teknologi digital sekali gus melindungi pengguna daripada eksploitasi.
“Sebagai kementerian yang mengawal selia industri e-dagang, KPDN sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang bagi mengemas kini perundangan sedia ada seperti Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 selaras dengan perkembangan pesat industri e-dagang.
“Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP 4 RMK-12) ini telah bermula pada April 2024 dan dijangka selesai pada Mac 2025.
“KPDN berharap melalui kerjasama dengan UNCTAD ini akan dapat membantu usaha kementerian untuk melaksanakan kajian perundangan baru e-dagang dengan lebih berkesan melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
UNCTAD merupakan badan tetap antara kerajaan ditubuhkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab bagi menggalakkan perdagangan dan pembangunan di negara-negara membangun.
UNCTAD memainkan peranan untuk menyokong negara-negara membangun melalui perkongsian kepakaran, bantuan teknikal, kajian analisis dan pembangunan kapasiti.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN akan terus komited untuk memastikan pembangunan ekonomi domestik yang seimbang termasuk melindungi kepentingan pengguna dan pada masa sama memastikan industri e-dagang dapat terus berkembang dengan pesat.
“Sebagaimana trend global, industri e-dagang di Malaysia adalah merupakan antara sektor yang sedang pesat berkembang.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai pendapatan daripada industri e-dagang di Malaysia pada tahun 2022 telah meningkat sebanyak 6 peratus kepada RM1.09 trilion berbanding RM1.03 trilion pada tahun 2021,” katanya. – UTUSAN