Kerjasama ibu bapa, guru ramuan kecemerlangan calon SPM

Kerjasama ibu bapa, guru ramuan kecemerlangan calon SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun ini peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijangka diadakan lebih awal berbanding tahun sebelum ini sekali gus memberikan cabaran besar bukan saja kepada calon tetapi juga kepada guru dan ibu bapa.

Justeru kerjasama erat dan komitmen berterusan para guru dan ibu bapa dilihat mampu menjadi ramuan terbaik untuk membantu calon SPM mencapai kecemerlangan.

Guru sudah semestinya pada ketika ini ramai yang risau dan bimbang kerana perlu menghabiskan sukatan pelajaran atau silibus dengan lebih segera dan awal sebagai persediaan anak murid masing-masing menghadapi SPM kelak.

Ironinya dengan masa yang begitu suntuk kita boleh bayangkan betapa bergelutnya pada guru mengejar masa menghabiskan silibus namun saya percaya dan yakin para guru mampu melakukannya.

Hakikatnya para guru sudah ada banyak pengalaman dalam hal ini terutamanya tahu cara, kaedah dan pendekatan yang diperlukan untuk menghabiskan silibus sekali gus siap siagakan murid mengharungi peperiksaan besar ini kelak.

Justeru diharap guru tidak rasa tertekan sebaliknya bertindak dengan penuh berhemah, bijak dan kreatif dalam membantu murid menelaah pelajaran masing-masing.

Ini penting kerana kita tidak mahu calon berasa panik atau bimbang sebaliknya mereka sangat mengharapkan suntikan semangat dan motivasi daripada guru dalam saat yang getir seperti ini.

Sudah tentu pada ketika ini selain mengejar masa untuk menghabiskan silibus, kita berharap guru banyak fokus kepada program seperti teknik menjawab soalan mengikut semua mata pelajaran yang terlibat.

Untuk itu bantuan dan tips daripada pakar seperti penggubal soalan dan pemeriksa kertas peperiksaan sangat diharapkan dapat membantu calon membuat persiapan yang sewajarnya.

Selain itu, guru juga boleh mengambil inisiatif tambahan dengan mengadakan kelas tambahan sama ada selepas waktu persekolahan atau pada hujung minggu untuk terus membantu calon SPM menghabiskan silibus selain mengajar teknik menjawab soalan.

Ini akan memberikan masa yang lebih baik untuk guru dan murid membuat persiapan yang sewajarnya.

Pada masa yang sama, program berbentuk suntikan semangat dan motivasi juga dilihat sangat diperlukan pada waktu genting seperti ini.

Saya percaya pada ketika ini pasti ada sekelompok calon yang mula rasa tertekan, kurang yakin dengan kemampuan serta prestasi semasa selain mungkin ada juga yang mula putus asa. – UTUSAN

 

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN