Kerjasama ASEAN, UNODC didik wanita, elak jadi mangsa jenayah siber

Kerjasama ASEAN, UNODC didik wanita, elak jadi mangsa jenayah siber

NORAINI AHMAD dan Ramli Mohamed Yoosuf bergambar bersama peserta program Sidang Kemuncak Wanita UNODC Dalam Mata Wang Kripto, di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SYAHIRAH ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) menjalin kerjasama dengan negara ASEAN dan Afrika bagi mendidik wanita manfaatkan teknologi dan mengelak menjadi mangsa jenayah siber.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kerjasama itu bertujuan menyatukan pakar wanita dalam bidang berkaitan untuk bekerjasama mencegah dan memerangi penyalahgunaan aktiviti siber terutama melibatkan mata wang kripto.

 

Katanya, kerjasama itu diperlukan untuk membentuk rangka kerja keselamatan seiring kemajuan inovasi sedia ada.

 

“Apabila ancaman siber terus berkembang, usaha pengawalseliaan dan dasar perlu memberi tumpuan kepada peningkatan daya tahan dan keselamatan ruang digital.

 

“Hasil utama daripada acara ini adalah untuk merangka Pelan Tindakan Wanita dalam Kripto di Asia dan Afrika untuk dimanfaatkan oleh wanita yang bekerja dalam bidang sama,” katanya berucap di Program Sidang Kemuncak Wanita UNODC Dalam Mata Wang Kripto, di sini hari ini.

 

Tambah beliau, dunia teknologi memberi kemudahan secara universal namun ia tetap mendedahkan pengguna kepada risiko. 

 

“Saya mahu rakyat meneroka manfaat ruang digital tanpa terjerat dengan sebarang penipuan, penyelewengan, pelaburan wang haram dan sebagainya.

 

“Jadi, kita akan fokus pada penggubalan dan pelaksanaan piawaian keselamatan siber dan protokol tindak balas insiden, serta prosedur operasi standard untuk bertindak balas dan menangani jenayah siber,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, keseimbangan gender juga diperlukan agar selari dengan peningkatan penglibatan wanita dalam bidang kripto.

 

Katanya, ia menekankan aspek kemanusiaan selain  meningkatkan pengetahuan golongan wanita dalam bidang berkenaan.

 

“Kita semua berkumpul di sini untuk mempertingkat dan memupuk keseimbangan gender dalam bidang kripto dengan menekankan aspek kemanusiaan dalam kalangan wanita.

 

“Saya harap, ia akan membawa kepada peningkatan keseimbangan gender serta meningkatkan pengetahuan wanita yang bekerja dalam bidang berkaitan kripto,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN