KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menyekat mana-mana sarjana atau tokoh akademik untuk membicarakan apa-apa isu termasuk 3R (raja, agama dan bangsa) selagi mana tidak menyemai kebencian atau menggugat keharmonian negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang ditekankan olehnya kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mahukan golongan sarjana di negara ini tidak menjadi ‘pak turut’ semata-mata.
Sebaliknya, Anwar berkata, beliau tidak pernah menafikan kebebasan bersuara mana-mana pihak termasuklah golongan akademik bahkan menekan keperluan untuk berbuat demikian.
“Sekiranya ada sekali pun yang membicarakan tentang 3R, itu hanya sekatan apabila kenyataan-kenyataan itu sudah melampau, menghasut kaum membenci satu sama lain, menggunakan agama untuk mendajjalkan atau memunafikkan orang dengan mudah.
“Kalau (itu berlaku) di kalangan rakyat, ia mungkin akan membawa malapetaka dan rusuhan,” katanya pada Majlis Memperingati Allahyarham Profesor Dr. Syed Husin Ali, di sini hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, melabel kaum bukan Islam dengan label tertentu seperti ‘kafir harbi’ juga adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara.
“Kafir harbi itu apabila dijelaskan di peringkat bawah bermakna orang yang menentang Perlembagaan dan berperang dengan negara maknanya memberi ruang (penyokong) bangkit berperang kerana mereka (orang bukan Islam) itu dianggap menyimpang dari semangat bernegara,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebahagian pihak agak sinis terhadapnya kerana kerap berbicarakan soal keadilan dan kebebasan kemudiannya mengambil tindakan untuk menyekat sedikit sebanyak ruang kebebasan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikawal seperti yang dilontarkan kepadanya.
“Umpamanya, ada muktamar (parti politik) baru-baru ini, ada yang dibicarakan Kementerian Pendidikan sudah rosak kerana masuk dan bebasnya aliran komunisme dan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diizinkan diajar di sekolah.
“Itu (mungkin diterima) di kalangan penyokong-penyokong mereka. Tentunya kita harus jawab, saya tidak katakan itu kita harus ambil tindakan undang-undang tetapi menunjukkan tidak mudah seperti dibahaskan,” katanya. – UTUSAN