Kerajaan perlu tegas isu  sijil  halal - Persatuan Ulama

Kerajaan perlu tegas isu  sijil  halal – Persatuan Ulama

MOHD. ROSLAN MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyarankan kerajaan bertegas dalam mempertahankan pensijilan halal mengikut undang-undang, akta serta enakmen  sedia ada.

Setiausaha Agungnya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, PUM berpendirian pensijilan halal adalah satu keperluan untuk maslahah rakyat Malaysia sama ada dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim. 

Malah, katanya, pensijilan halal Malaysia itu juga telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

“Buat masa ini, Malaysia telah mempunyai standard piawaian yang diiktiraf seluruh dunia. Bahkan Malaysia dilihat sebagai pelopor kepada perkembangan industri halal di peringkat global.

“Bukan lagi suatu rahsia, di peringkat global pensijilan halal khasnya Halal Malaysia dijadikan rujukan utama dalam menentukan kualiti dan keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan, isu mengenai pensijilan halal kini menjadi polemik dalam kalangan ahli politik kerajaan dan pembangkang. 

Ia susulan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilapor berkata, cadangan itu berpotensi menambah beban kepada peniaga kecil termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu. 

Menurutnya, pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran sekali gus menyukarkan operasi perniagaan. 

Justeru, Mohd. Roslan berkata, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa beberapa perkataan tertentu seperti no pork, no wine, no alcohol dan sebagainya tidak bermaksud makanan yang disediakan itu memenuhi status halal. 

“Ini kerana istilah halal bukan sahaja kepada ramuan, malah ia merangkumi semua aspek-aspek yang berkaitan seperti proses, penyediaan, peralatan, bahan dan lain-lain yang memenuhi kehendak Halalan Toyyiban. 

“Oleh yang demikian, tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan dan mengecilkan atau merendah-rendahkan peranan yang telah sekian lama dimainkan oleh Malaysia dalam bidang halal,” katanya. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini dilapor akan mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal, kecuali mereka yang yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata, proses mendapatkan sijil halal ketika ini lebih kepada sukarela dan tiada undang-undang mewajibkan pensijilan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN