Kerajaan negeri pantau gerakan, aktiviti GISBH di Perlis

Kerajaan negeri pantau gerakan, aktiviti GISBH di Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan memantau gerakan atau aktiviti kumpulan organisasi Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Perlis. 

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, buat masa ini, tiada sebarang gerakan kumpulan itu dikenal pasti menerusi mana-mana pusat pengajian agama, pusat penjagaan kanak-kanak atau hotel. 

Katanya, kumpulan itu dilihat hanya beroperasi menerusi entiti perniagaan di beberapa premis milik GISBH di Kuala Perlis membabitkan operasi seperti kedai runcit, bakeri dan kedai dobi. 

“Mereka juga didapati mempunyai sebuah ladang ternakan lembu di sekitar Chuping, Padang Besar, namun ia sudah ditinggalkan tanpa diuruskan. 

“Oleh demikian, kita sentiasa memantau  aktiviti kumpulan ini di negeri ini daripada berleluasa,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam organisasi GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah. 

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata, fatwa berkaitan GISBH tersebut diputuskan setelah menerima bukti-bukti berkaitan organisasi berkenaan selain ia juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat sebelum ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai penahanan 24 pemimpin GISBH termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali bagi membantu siasatan berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak.

Penahanan Nasiruddin bersama 18 individu lagi dibuat dalam serbuan di empat unit kediaman di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas disyaki melarikan diri dari pusat perniagaan mereka yang terletak di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor. 

Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan Nasiruddin bersama isteri dan dua anak serta ahli GISB terlibat menyewa di unit kediaman itu bagi menyembunyikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN