Kerajaan hormati keputusan PN tolak peruntukan

Kerajaan hormati keputusan PN tolak peruntukan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dinasihat untuk menjadikan draf perjanjian memorandum persefahaman (MoU) diberi kerajaan sebagai asas kepada perbincangan sekiranya masih mahukan peruntukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan draf perjanjian yang baharu bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ini kerana, menurut beliau, draf MoU yang diserahkan kepada PN sebelum ini adalah asas kepada perbincangan antara kedua-dua pihak.

Katanya, sekiranya PN masih mahu meneruskan perbincangan maka mereka perlu memberi maklum balas secara rasmi berdasarkan draf MoU tersebut dan bukannya menerusi kenyataan kepada media.

“Mereka (PN) sudah membuat kenyataan (menerusi media) bahawa mereka menolak perbincangan dengan kerajaan, tetapi sehingga kini mereka tidak berhubung dengan kami (secara rasmi).

“Apabila mereka menolak, kerajaan menghormati keputusan itu dan kita terima tolakan mereka tetapi (jika mereka meminta) draf baharu, apa lagi yang hendak dibuat kerana draf sedia ada itulah asas untuk kami berbincang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Pengurusan Keselamatan Sosial Antarabangsa di Kuching, semalam.

Terdahulu, media melaporkan, PN akan membincangkan semua berkait Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekiranya kerajaan menyediakan satu draf baharu.

Ketua Whipnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu PN turut mahu sebuah jawatankuasa bersama diwujudkan bagi membincangkan intipati yang akan dimasukan dalam MoU tersebut.

Menurutnya, jika kerajaan mahu mengekalkan kandungan MoU yang sedia ada ketika ini PN akan menutup pintu rundingan berkait perkara tersebut.

Perkara ini selepas semua ahli Parlimen PN dilaporkan sebulat suara menolak MoU kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

Selain itu, katanya, mengongkong kebebasan di samping boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN