Kerajaan dedah enam intipati draf MoU peruntukan kepada pembangkang

Kerajaan dedah enam intipati draf MoU peruntukan kepada pembangkang

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan antara ahli parlimen pembangkang dengan Kerajaan Perpaduan antaranya perlu telus dan tidak tertakluk kepada klausa kerahsiaan.

Perkara itu antara enam intipati yang terkandung di dalam draf MoU yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau bertindak mendedahkan kandungan draf itu susulan pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

“Niat kerajaan Madani mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua ahli parlimen lebih menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.

“Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Dengan pendedahan ini, rakyat sendiri boleh menilai kesemua dakwaan ketua pembangkang mengenai draf berkenaan yang didakwa tidak berasas sama sekali,” katanya.

Berikut adalah kandungan penuh draf MoU:

1. Tempoh kuat kuasa MoU – Berkuat kuasa dari tarikh memorandum dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 (mana yang terdahulu).

2. Obligasi Perikatan Nasional (PN) – Menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina. Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

3. Obligasi Kerajaan Persekutuan – Kerajaan Persekutuan antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.

4. Ketelusan dan tiada kerahsiaan – Memorandum ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.

5. Pemakaian undang-undang – Memorandum Persefahaman ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia

6. Pembatalan memorandum – MoU ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Semalam, semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

“Sehubungan itu, PN mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janji tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hamzah, pembangkang menerima dua set draf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN iaitu di antara Kerajaan Malaysia dan parti Perikatan Nasional.

Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan menzahirkan sokongan kepada kerajaan dan pengisytiharan harta merupakan antara tujuh syarat MoU.

Dedahnya, memorandum itu juga merangkumi tujuh kandungan antara obligasi dan syarat yang perlu dipenuhi oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuklah isu berkaitan isu agama, kaum dan raja (3R).

Sementara itu, di Kota Kinabalu, jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata,
tindakan pihak pembangkang menolak MoU mengenai peruntukan kepada mereka tidak bererti rundingan berhubung perkara itu telah tamat.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi itu berkata, ini kerana kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama atau rundingan dengan pihak pembangkang.

“Malah sejak hari pertama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengangkat sumpah, beliau telah membuka pintu seluas-luasnya untuk mengadakan kerjasama atau sesi rundingan.

“Pihak kerajaan bersedia sekiranya pihak pembangkang ingin meneruskan rundingan berkenaan MoU itu dan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah memaklumkan bahawa kita menunggu maklum balas serta kertas cadangan daripada pihak pembangkang,” kata Fahmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN