Keracunan makanan: Kantin SK Chepor ditutup 14 hari

Keracunan makanan: Kantin SK Chepor ditutup 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini diarah tutup selama 14 hari berikutan kes keracunan makanan membabitkan seramai 101 murid, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, penutupan sehingga 8 Oktober itu dibuat selepas mendapati penilaian premis makanan berasaskan risiko tidak memuaskan dengan tahap rating 67.9 peratus.

Katanya, tindakan menutup premis itu dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

“Selain itu, satu kompaun juga dikeluarkan atas kesalahan pemakaian aksesori sewaktu mengendalikan makanan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 10 sampel klinikal diambil dalam kalangan murid yang bergejala dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam, Ipoh (MKAI) untuk dianalisis, semalam.

Katanya, ia termasuk satu sampel makanan proxy, satu sampel air, satu sampel swab pisau, satu sampel swab papan pemotong dan permukaan meja serta tiga sampel swab pengendali.

“Berdasarkan siasatan awal, makanan yang disyaki menjadi punca kejadian wabak keracunan makanan ini adalah minuman bancuhan berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin tersebut.

“Pelajar-pelajar telah mengadu bahawa minuman berperisa coklat yang dijual di kantin kelmarin (Isnin) berbau masam semasa diminum.

“Selain itu, pelajar turut mengadu ayam goreng yang dijual tidak dimasak dengan sempurna dan sebahagian daging ayam tersebut masih mentah,” katanya.

Tambah beliau, ejen yang disyaki menyebabkan keracunan tersebut adalah salmonella spp berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes.

Media semalam melaporkan, seramai 86 murid SK Chepor mengalami simptom keracunan makanan selepas muntah dan cirit-birit.

Berdasarkan laporan diterima dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, kejadian difahamkan berlaku bermula pukul 10.50 pagi melibatkan murid sesi pagi dan petang.

Bagaimanapun, hasil siasatan pengesanan kes aktif dikenal pasti menjelang pukul 5 petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 101 membabitkan 50 murid perempuan dan 51 murid lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN