Keputusan kebenaran semakan kehakiman Syed Saddiq 18 November

Keputusan kebenaran semakan kehakiman Syed Saddiq 18 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 November ini untuk keputusan kebenaran semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi kawasan itu berhubung tindakan kerajaan yang didakwa memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di Parlimen terbabit.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat hari ini.

Pada prosiding hari ini, Syed Saddid diwakili peguam, Lim Wei Jitt manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan, Ng Wee Li.

Pada 23 April lalu, Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) selaku plaintif memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Tiga pengundi yang turut menjadi plaintif dalam semakan itu ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), Najib Abu Nawar; imam surau, Mohd Bakirudin Abdullah serta pengerusi surau, Muhamad Fadzly Bisri.

Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhenti atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta, yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana bagi kawasan Parlimen Muar.

Selain itu, mereka memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden dalam keputusan membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut.

Plaintif turut memohon perintah agar mahkamah membatalkan keputusan responden membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300 yang sebelum itu dimohon dalam sistem myKHAS dan diluluskan dalam sebahagian peruntukan pembangunan RM2 juta.

Mereka juga memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar, untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden telah melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan parlimen itu yang terjejas termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 6 Mei lalu, Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan dilaporkan membantah terhadap permohonan semakan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN