SEPANG: Keperluan bumiputera adalah antara agenda yang turut dimasukkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) yang bakal digubal nanti.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, RMK13 pastinya akan mengimbangi keperluan semua kumpulan masyarakat termasuk bumiputera membabitkan sektor kemahiran dan beberapa perkara khusus lain.
“Sama ada bentuk sektor atau kemahiran, perkara khusus yang akan kita tumpu RMK13 sudah tentu perlu mengimbangi keperluan semua orang dalam masyarakat.
“Dari segi keperluan bumiputera dan dokumen lain sudah tentu bila bangunkan RMK13 perlu dijajarkan mengambil kira beberapa keputusan penting dibuat kerajaan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Permulaan RMK13 2026-2030 di sini, hari ini.
Pada masa sama, katanya, agenda dan perkara dalam RMK13 sebenarnya sudah digerakkan lebih awal oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini termasuk program peralihan tenaga dan pembangunan industri digital dan automasi.
“Sebenarnya sebahagian hala tuju itu (RMK13) telah pun dimulakan sebelum RMK13 dilaksanakan, malah
sambutan daripada pasaran dan pemegang taruh ekonomi terhadap hala tuju itu amat baik.
“Ia sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada perkara-perkara asas lain seperti pendidikan, kesihatan, keseimbangan dalam masyarakat dan persediaan menuju negara menua,” katanya. – UTUSAN