SEKOLAH Kebangsaan Batu Melintang, Jeli Kelantan mengadakan Kempen Amalan Pemakanan Sihat bagi menyediakan pengetahuan kepada warganya tentang kepentingan makanan dan kesihatan.
Program di bawah Unit Hal Ehwal Murid dan Panitia Pendidikan Seni Visual itu diadakan bagi menerapkan murid dengan elemen gaya hidup sihat dengan pelbagai pengisian berkaitan makanan bernutrisi.
Sasaran adalah kepada semua murid tahun satu hingga enam.
Objektif kempen adalah memberi pengetahuan kepada murid tentang makanan bernutrisi dan berkhasiat untuk kesihatan. Selain itu, ia juga menggalakkan murid-murid mengamalkan pemakanan sihat melalui ceramah dan aktiviti yang menarik.
Penyelaras program, Nur Farahiah Che Husin berkata, kempen amalan pemakanan sihat bertujuan membantu individu membuat pilihan makanan yang lebih baik dan menjalani gaya hidup yang lebih aktif, yang seterusnya akan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, penyakit jantung, dan kanser.
Katanya, beliau berpuas hati kerana program berjalan dengan baik sebagai mana yang dirancang serta berjaya menyahut seruan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan agar murid-murid sentiasa diingatkan dan diajar tentang amalan pemakanan yang sihat sejak dari kecil bak peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Program tersebut ternyata mendapat sokongan penuh Guru Besar, Laila Ismail, guru-guru dan Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana yang bertungkus-lumus bagi memastikan aktiviti yang diadakan tidak ada sebarang halangan.
Antara program yang diadakan adalah persembahan, pameran kesihatan, mencipta replika buah-buahan, melabel dan mewarna piramid makanan,
Selain itu, turut diadakan adalah ceramah pemakanan Amalan Pemakanan Sihat oleh Pegawai Sains Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, Norita Mat Rasid.
Program tersebut amat wajar dilaksanakan dengan pengisiannya turut memperkenalkan makanan sihat dalam kantin sekolah dan menggalakkan pelajar membawa bekalan makanan yang sihat dari rumah demi kebaikan dan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Ketua gimik peluncuran, Ahmad Safarman Dollah berkata, setelah bertungkus-lumus berminggu-minggu lamanya untuk melatih murid membuat drama pendek, kini beliau sangat berpuas hati kerana murid-murid mampu memberikan yang terbaik. – UTUSAN