Kempen Keluarga Madani perkukuh institusi keluarga

Kempen Keluarga Madani perkukuh institusi keluarga

MOHD AJIB Ismail ketika menyempurnakan Kempen Keluarga Madani di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 1,000 peserta dalam kalangan komuniti setempat menghadiri Kempen Keluarga Madani di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu bermatlamat mendukung agenda pemerkasaan institusi keluarga menerusi perkongsian maklumat bagi melahirkan ummah berkualiti demi mencapai aspirasi Malaysia Madani.

Menurut JAWI, pelbagai pengisian program yang dimulakan sejak pukul 6.30 pagi itu antaranya aktiviti Subuh Macam Jumaat dan Bicara Santai Keluarga Madani bertajuk “Baiti Jannati”.

“Selain itu, turut diadakan ceramah motivasi kekeluargaan, kaunter khidmat nasihat kekeluargaan, cabutan bertuah serta pameran agensi dan gerai jualan.

“Program yang disempurnakan Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail itu turut menyampaikan sumbangan bakul makanan JAWI Food Bank berupa barangan keperluan makanan kepada 100 orang asnaf dalam kalangan ahli kariah masjid yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain program-program pemantapan institusi keluarga,  JAWI juga mewujudkan dua buah Pusat Khidmat Keluarga, Sosial, dan Komuniti (PKKSK) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral dan UTC Mini Keramat.

Turut ditubuhkan tiga buah Anjung Khidmat Keluarga JAWI (Akuaja) di Masjid Usamah bin Zaid Wangsa Maju; Masjid Mahmoodiah Presint 18 Putrajaya dan Surau Al-Furqan Presint 11 Putrajaya. Pusat tersebut menyediakan khidmat nasihat kekeluargaan dan isu sosial secara percuma yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman.

Penganjuran Kempen Keluarga Madani adalah selaras dengan agenda yang digariskan di bawah Pelan Transformasi Al-Falah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Ia menitikberatkan program pengukuhan pembangunan keluarga ke arah melahirkan keluarga yang sakinah dan berkasih-sayang bertunjangkan kepatuhan kepada syariat Islam dan undang-undang negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN