Kementerian Luar siasat kebocoran dokumen nota diplomatik China kepada Malaysia

Kementerian Luar siasat kebocoran dokumen nota diplomatik China kepada Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) memandang serius isu kebocoran dokumen Nota Diplomatik dari Kementerian Luar Negeri China yang dialamatkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Februari lalu.

Dalam konteks ini, KLN akan membuat laporan polis supaya siasatan turut dapat dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan segera.

Menurut Wisma Putra, dokumen tersebut merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua buah negara yang dibocorkan kepada umum.

“KLN sedang menjalankan siasatan dalaman tentang kebocoran maklumat terperingkat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kebocoran dokumen itu didedahkan menerusi satu artikel yang diterbitkan sebuah portal media Filipina bertarikh 29 Ogos lalu.

Wisma Putra memaklumkan, Malaysia dan China mempunyai hubungan dua hala dan kerjasama yang sangat akrab dan aktif.

Katanya, kedua-dua buah negara merupakan Rakan Strategik Komprehensif dan sentiasa mengambil inisiatif-inisiatif baharu yang berpotensi memantapkan perkongsian ini ke tahap yang lebih tinggi.

Berkenaan isu Laut China Selatan, kata KLN, kedua buah negara telah menzahirkan iltizam dan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada.

“(Ini termasuk) melalui saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan.

“Pada masa sama, pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan tidak pernah berganjak,” katanya.

Malaysia menegaskan akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.

Pendekatan Malaysia ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai lautan yang aman, stabil serta selamat bagi kelangsungan perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dalam urusannya bersama negara lain, termasuk China.

“Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang menekankan penyelesaian kepada pertelingkahan secara aman, tanpa ancaman atau kekerasan,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia kekal komited di dalam rundingan antara negara ASEAN dan China bagi memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan efektif dan selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.

Mulai Ogos lalu, Malaysia dan China merupakan pengerusi bersama selama tiga tahun bagi mesyuarat ASEAN dan China berkaitan pelaksanaan DOC dan rundingan bagi memuktamadkan COC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN