PETALING JAYA: Rock Warrior Music Festival yang dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah bakal menghimpunkan tiga kumpulan lagenda tanah air iaitu Wings, Search (Kid dan Din) dan XPDC pada 23 dan 24 November ini di KL Base, Sungai Besi.
Penganjur, Datuk Awie berkata, penganjuran festival ini adalah salah satu usaha Rumah Produksi Merah untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik rock.
Jelas Awie, penganjuran ini merupakan platform terbaik buat band rock baharu untuk menonjolkan bakat sekali gus memperkenalkan lagu dan karya mereka.
“Saya percaya festival ini akan menjadi titik permulaan yang mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka yang sudah lama mahupun yang baharu hendak bersuara di dalam dunia musik.
“Tidak hanya itu, pentas itu juga boleh diangkat sebagai medan yang amat sesuai untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri muzik rock. Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengagumkan penonton, serta memperkenalkan karya mereka kepada khalayak.
“Dengan adanya penekanan yang diberikan oleh festival ini terhadap kepelbagaian bakat dalam kalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, vokalis utama Wings ini turut berkongsi bahawa festival ini bukan sahaja menjadi acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat muzik tanah air tetapi bakal menjadi tonggak penting yang mendokong perkembangan industri muzik rock di negara ini.
“Diharapkan festival ini akan terus menjadi mercu tanda yang membawa kegemilangan kepada muzik rock, serta menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dalam kalangan peminat muzik tanah air,” kongsinya.
Dalam pada itu, Awie turut menyatakan bahawa festival ini adalah satu penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia.
“Rock Warrior Music Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini.
“Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” ujarnya.
Untuk info, selain persembahan muzik, Rock Warrior Music Festival juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan antaranya pelbagai gerai jualan makanan dan minuman, aksesori, jualan eksklusif barangan rock, dan banyak lagi.
Selain itu, tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu.
Harga tiket untuk dua hari iaitu Gold RM250 (duduk), Silver RM200 (berdiri) dan Bronze RM150 (berdiri). -UTUSAN