‘Kemampuan Tun M terserlah jika bawa pelaburan teknologi REE’

‘Kemampuan Tun M terserlah jika bawa pelaburan teknologi REE’

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘PETALING JAYA: Kemampuan sebenar Tun Dr. Mahathir Mohamad akan terserlah jika bekas Perdana Menteri itu berjaya membawa satu pelaburan asing yang membawa teknologi pemprosesan unsur nadir bumi (REE) ke negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, idea menubuhkan syarikat bersama yang dimiliki kerajaan negeri ditadbir pembangkang untuk membina kilang pemprosesan REE adalah idea yang baik.

Malah, menurut beliau, idea tersebut telah dibincangkan panjang lebar di peringkat Persekutuan dan dalam majlis-majlis bersama yang turut melibatkan pimpinan keempat-empat buah negeri itu.

“Cuma ada satu masalah sahaja. Industri REE ini dikuasai hampir 90 peratus oleh negara China. Teknologi untuk memproses REE hanya dimiliki oleh syarikat-syarikat milik kerajaan China. Hanya ada beberapa buah syarikat bukan China yang mempunyai teknologi ini.

“Perbincangan di peringkat Persekutuan telah memutuskan agar usaha di peringkat kerajaan dimulakan untuk meyakinkan pelabur-pelabur untuk berkongsi teknologi pemprosesan REE dengan membuka kilang pemprosesan di Malaysia.

“Kemampuan sebenar Tun Mahathir akan terserlah sekiranya beliau berjaya membawa satu pelaburan asing yang membawa teknologi pemprosesan REE untuk dikongsi di sebuah kilang di Malaysia,” katanya menerusi catatan di laman X.

Sebelum ini, media melaporkan, empat negeri dikuasai PN me­nubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) bagi memboleh­kan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkongsi kekayaan secara saksama.

Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4), Dr. Mahathir berkata, setiap negeri akan mempu­nyai 25 peratus pega­ngan dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.

Menurutnya, syarikat berkenaan akan memfokuskan industri nadir bumi kerana percaya ia satu punca kekayaan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, usaha menyakinkan pelabur berkongsi teknologi pemprosesan REE antara Persekutuan dan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai satu persaingan yang sihat.

“Kerajaan Persekutuan dan PN yang mentadbir empat buah negeri ini berlumba-lumba membuktikan siapa yang paling handal membawa teknologi pemprosesan REE ke Malaysia.

“Jika tidak, rancangan yang diumumkan di Bangi itu hanya kekal menjadi hasrat sahaja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN