PONTIAN: Keluarga Nurul Najwa Muhammad Hasif, 22, yang hilang sejak 9 September lalu bimbang dengan keselamatannya kerana hingga kini belum ditemukan.
Ibunya, Azura Ahmad, 39, berkata, Nurul Najwa yang berstatus orang kurang upaya (OKU) pembelajaran keluar dari rumahnya hanya berjalan kaki tanpa membawa pakaian dan telefon bimbit.
Ahli keluarganya telah mencari di beberapa lokasi seperti perhentian bas dan teksi, pusat beli-belah dan rumah rakan-rakan anaknya, tetapi tiada sebarang maklumat tentangnya.
“Bacaan Yasin dan solat hajat juga telah dibuat supaya dilembutkan hati Najwa untuk kembali ke pangkuan keluarga, begitu juga dengan menggunakan kaedah perubatan tradisional,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan kisah Nurul Najwa yang menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Bukit Mewah, Tampoi.
Azura yang merupakan peniaga makanan di Tambak, di sini mengakui tiada sebarang perselisihan faham yang menyebabkan anaknya tiba-tiba keluar tanpa memberitahu ke mana destinasinya.
“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, dia kata nak cari kerja,” katanya sambil berharap orang ramai yang mengetahui di mana anaknya berada supaya menghubunginya menerusi talian 017-7156279. – UTUSAN