Kelindan lori kargo warganegara India maut kemalangan - Utusan Malaysia

Kelindan lori kargo warganegara India maut kemalangan

ANGGOTA bomba mengangkat mayat Kali Muthu Baskaran yang maut selepas lori kargo yang dinaiki merempuh sebuah lori yang rosak di KM 257.89, LPT2 berhampiran Hentian R&R Perasing, Kemaman, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang kelindan lori warganegara India maut selepas lori kargo yang dinaikinya merempuh sebuah lori yang rosak di Kilometer (KM) 257.89 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, Kali Muthu Baskaran, 39, maut di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan manakala pemandu lori, Gengan Munusamy, 57, yang berasal dari Klang, Selangor mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannya sedang dalam perjalanan dari Klang, Selangor untuk menghantar gulungan tembaga ke kawasan Perindustrian Kerteh dekat sini.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu Gengan dikatakan terlanggar bahagian kanan belakang sebuah lori muatan makanan haiwan yang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.

“Lori itu kemudiannya telah hilang kawalan lalu dan terbalik sebelum mangsa tertindih dengan gulungan tembaga muatan lori itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanyan berkata mangsa yang tersepit kemudiannya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Cheneh menggunakan peralatan khas dan bantuan kren.

“Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan rakannya yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya