PETALING JAYA: “Terima kasih semua.”
Demikian kata bekas isteri pengarah dan penerbit sensasi, Syamsul Yusof, Ira Kazar yang terharu menerima kata-kata semangat dan pujian dari warganet, sejak kebelakangan ini.
Seolah reda dengan takdir hidupnya setelah tidak lagi bergelar isteri Syamsul, Ira kini dilihat aktif memuat naik hantaran video mempromosikan produk usahawan tempatan, Datuk Seri Aliff Syukri di platform TikTok.
Menerusi perkongsian tersebut, Ira turut menonjolkan bakat terpendamnya dengan menyanyikan lagu Terukir Di Bintang nyanyian asal Yuna sekaligus mencuri perhatian ramai.
Sementara itu, perkongsian tersebut turut dihujani kata-kata semangat dan pujian dari kalangan warganet yang menyifatkan wanita itu seorang yang tenang dan tidak mudah melenting meskipun dikecam.
Malah, rata-rata peminatnya turut berharap agar anak kepada pelakon senior, Kazar Saisi itu terus kuat menjalani kehidupannya selepas ini.
“Bagus Ira ni tak melenting. Bila orang kecam dia macam-macam tapi dia tenang sahaja. Baik orangnya,” komen seorang pengguna media sosial.
“Tabahkan hati, kuatkan semangat, walau hidup ini keras, perjuangan mesti diteruskan selagi roh di dalam badan,” tambah seorang lagi pengguna.
“Ira ini cantik. Cantik asli. Tanpa make-up lagi cantik. Semoga Ira kekal tenang, tak perlu melenting dengan kecaman. Serah pada Allah,” komen peminatnya.
Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujud lafaz cerai taklik oleh Syamsul terhadap Ira ketika mereka masih bergelar suami isteri.
Kemudian, Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu sekaligus jatuh talak satu.
Pada 16 Ogos lalu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Rentetan itu, Ira dan Syamsul bertegas memilih untuk tidak memberikan sebarang komen berkaitan isu perceraian mereka pada Khamis lalu.
Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.-UTUSAN