Keistimewaan Parlimen perlu ditambah baik-Shamrahayu 

Keistimewaan Parlimen perlu ditambah baik-Shamrahayu 

SHAMRAHAYU A. Aziz dalam sidang akhbar selepas program Parlimen Malaysia dan Perlembagaan Negara: isu dan cabaran di Parlimen, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keistimewaan insititusi Parlimen perlu ditambah baik supaya ahli Parlimen berhak mempertahankan dirinya daripada sebarang fitnah yang dilemparkan terhadapnya di dalam Dewan Rakyat. 

Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, berdasarkan perkara 63 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, ia memberi keistimewaan kepada Ahli Parlimen kebal daripada sebarang tindakan meskipun memfitnah wakil rakyat lain, sekali gus menjejaskan kredibiliti Ahli Parlimen yang difitnah itu. 

Katanya lagi, undang-undang dilihat penting demi keadilan semua pihak serta meletakkan had agar mana-mana Ahli Parlimen tidak melanggari Akta Hasutan ketika dalam sesi perbahasan. 

“Ia harus ditambah baik bagi membolehkan seseorang yang berasa terkesan dengan ucapan prosiding Parlimen menjejaskan reputasi dan mendatangkan fitnah pada dirinya. Saya tidak nyatakan undang-undang itu perlu dimansuhkan kerana saya percaya hak kebebasan bersuara perlu dikekalkan, tetapi tidak melanggar Akta Hasutan seperti mansuhkan institusi beraja.

“Jadi perkara 63 (4) dan (5) ini perlu penambahbaikan bagi meletakkan kepentingan individu lain yang difitnah supaya kes itu boleh dibawa ke mahkamah,” katanya kepada media selepas program Parlimen Malaysia dan Perlembagaan Negara : isu dan cabaran di Parlimen, di sini, hari ini. 

Menurut Perkara 63 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung Keistimewaan Parlimen, tidak terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.

Sementara Perkara 63 (5) pula menyebut tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Yang di-Pertuan Agong atau seseorang Raja semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika dia menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan berperlembagaan Raja sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Mengulas lanjut, Shamrahayu turut berkata, meskipun terdapat tindakan dalaman Parlimen yang dibuat terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan dakwaan tertentu, namun penambahbaikan tersebut tetap dianggap penting bagi menjamin reputasi dan nama baik Ahli Parlimen itu sendiri. 

“Saya percaya ada perkara yang diambil perhatian, ada Jawatankuasa Disiplin membuat tindakan dalaman Parlimen, tetapi jika ahli parlimen itu membuat kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi secara peribadi, dan seseorang Ahli Parlimen itu tidak berpuas hati walaupun tindakan diambil, dia boleh mendapatkan lagi ganti rugi untuk diri dia, perniagaan, nama baik dia, 

“Kita melihat keperluan itu dalam konteks bukan untuk meminggirkan peranan Parlimen mengawal ahlinya, tetapi untuk ambil inisiatif bagi menjamin keselamatan dan reputasi Ahli Parlimen itu sendiri,” ujarnya lagi.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN