Kedai runcit jual minyak masak peket tanpa lesen diserbu - Utusan Malaysia

Kedai runcit jual minyak masak peket tanpa lesen diserbu

SEBAHAGIAN daripada minyak masak peket yang dirampas di sebuah kedai runcit di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai runcit kerana menjual minyak masak peket tanpa lesen di Kampung Banggol Tok Jiring, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, premis berkenaan turut disyaki menjual barang subsidi itu melebihi harga kawalan yang ditetapkan kementerian iaitu RM2.50 sepeket satu kilogram.

Beliau berkata, menerusi serbuan di kedai runcit itu, sebanyak 153 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi bernilai RM382.50 telah dirampas untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi menjalankan urus niaga barang kawalan tersebut.

“Malah minyak masak subsidi itu juga dipercayai dijual kepada pengguna pada aharga RM2.80 sepeket iaitu lebih tinggi daripada yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Saharuddin menambah, peniaga boleh menghadkan pembelian namun tidak dibenarkan meletakkan syarat kepada pengguna yang ingin membeli minyak masak paket di premis mereka.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati subsidi yang diperuntukkan kerajaan di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN