Kedah, Sri Pahang berkongsi mata selepas seri 2-2 - Utusan Malaysia

Kedah, Sri Pahang berkongsi mata selepas seri 2-2

HALIM Saari meraikan jaringan penyamaan dilakukannya dalam aksi menentang Sri Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar. - IHSAN KDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Boikot latihan hampir dua minggu disebabkan isu gaji tidak menjejaskan kekuatan Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila tetap berjaya mengutip satu mata setelah mengikat Sri Pahang FC, 2-2 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Separuh masa pertama menyaksikan penjaga gol pelawat, Azfar Arif Shukri terpaksa bekerja keras menahan asakan bertubi-tubi tuan rumah dengan dia terlebih dulu diuji menerusi rembatan deras Kapten KDA FC, Sony Norde pada minit ke-22, yang ditepisnya keluar menggunakan sebelah tangan.

Belum sempat Azfar berehat, ketangkasannya sekali lagi diuji Sony yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-24. Mujur kali ini dia di kedudukan tepat untuk menampan bola yang tiba secara meleret di penjuru gawang.

Hanya tiga minit berselang, Azfar sekali lagi menjadi hero kepada pasukannya selepas bijak membaca keadaan untuk mendakap bola hasil kuisan mengelirukan dilakukan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad di depan pintu gol.

Sri Pahang tidak berdiam diri dengan penyerang naturalisasi negara, Sergio Aguero mencuba dari jarak kira-kira 30 meter pada minit ke-35. Tindakan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim bagaimanapun menyelamatkan keadaan apabila melayangkan badan untuk menepis bola.

Bersambung ke babak kedua, Sri Pahang berjaya mengambil kesempatan di atas tindakan KDA FC memperlahankan rentak permainan apabila mereka membuka jaringan menerusi Aguero pada minit ke-51.

Bermula gerakan dilakukan gandingan serangannya, Kpah Sherman di sebelah kiri gawang tuan rumah, Aguero memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gol untuk melakukan rembatan leret melepasi jangkauan Ifwat untuk Tok Gajah mendahului 1-0.

Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila KDA FC kembali menyamakan jaringan menerusi Halim Saari, enam minit kemudian. Dia tenang melepaskan rembatan leret apabila menerima umpanan Sony dari sebelah kanan gawang.

Minit ke-64, Sang Kenari mengambil alih giliran mendahului perlawanan. Kesilapan dilakukan pertahanan Sri Pahang membolehkan sayap lincah dari Uzbekistan, Sukhrob Nurulloev merampas bola, sebelum melakukan larian solo dan melepaskan rembatan leret dari dalam kotak penalti untuk gol kedua tuan rumah.

Harapan Sang Kenari untuk mencatat kemenangan tidak kesampaian apabila Kpah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 menerusi rembatan leret dari dalam kotak penalti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya