Kedah segerakan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir

Kedah segerakan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir

SEORANG penduduk termenung di atas tangga rumahnya yang dinaiki air di Kampung Padang Luar, Jitra, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan segera memberikan bantuan awal Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terlibat.

“Selain itu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS.

“Setakat pukul 2 petang tadi, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kota Setar (8), Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim (3) dan Kuala Muda (3),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menasihatkan semua individu yang terlibat banjir agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS.

“Kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.

“Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan. PKOB negeri dan daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari masa ke masa,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar mengawasi anak masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN