Kebersamaan mampu jayakan reformasi institusi awam - CUEPACS

Kebersamaan mampu jayakan reformasi institusi awam – CUEPACS

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru semua peringkat penjawat awam untuk menyahut seruan Perdana Menteri bagi menjayakan usaha kerajaan melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, usaha itu bagi memberikan anjakan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Semua pihak dalam perkhidmatan awam perlu melihat teguran itu dalam konteks yang positif selain memberi penekanan yang serius dalam melaksanakan agenda reformasi yang diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami juga berharap semua ketua-ketua jabatan memberikan kerjasama penuh kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam merancang kerangka reformasi perkhidmatan awam bagi memastikan agenda menambahbaik perkhidmatan kepada rakyat berjaya dilakukan.

“CUEPACS percaya usaha KSN dan KPPA dalam merencana kerangka reformasi lebih mudah dilakukan jika mendapat kerjasama daripada semua peringkat penjawat awam terutama daripada ketua-ketua jabatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Anwar mahu supaya langkah penggabungan jabatan dan agensi yang merupakan sebahagian daripada proses reformasi perlu disegerakan.

Tambah Anwar, program penambaikan atau islah dalam pentadbiran perlu terus ditingkatkan dengan sepanjang bulan ini dijangka pelbagai program reformasi dapat dilakukan dengan lebih pesat.

Menyentuh penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan, Adnan Mat berkata, beliau berharap perkara membabitkan kakitangan yang terlibat dalam pelan rasionalisasi tetap diberi keutamaan dan dipertahankan.

“Selain itu, kami juga berharap wakil-wakil kesatuan sekerja atau CUEPACS sendiri terlibat dalam sekretariat tersebut sebagai wakil daripada kumpulan pekerja. Sudah tentu langkah penubuhan sekretariat ini penting dalam merasionalisasi perkhidmatan

“Namun, penekanan terhadap aspek kebajikan kakitangan sedia ada perlu juga diberikan keutamaan. Pandangan daripada kakitangan yang boleh diwakili oleh kesatuan sekerja perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN