Keberkesanan SG4 bergantung kepada pengurusan cekap dan telus - Utusan Malaysia

Keberkesanan SG4 bergantung kepada pengurusan cekap dan telus

SHAMSHUL ANAZ KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pembentukan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) membabitkan empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) mempunyai potensi untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Bagaimanapun, keberkesanannya bergantung kepada pengurusan yang telus dan cekap bagi mengelak sebarang skandal atau penyelewengan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, SG4 perlu memastikan bahawa risiko penyelewengan, ketidaktelusan dan peningkatan kos kepada rakyat dapat diatasi dengan berkesan.

Katanya, melalui pendekatan yang betul, SG4 boleh menjadi model pembangunan yang memberi manfaat besar kepada negeri-negeri terlibat dan rakyat secara keseluruhan.

“SG4 juga perlu sentiasa berhati-hati untuk memastikan ketelusan dalam proses tender dan pengurusan kewangan bagi mengelakkan masalah yang sama.

“Ketiadaan pemantauan ketat boleh membuka ruang kepada penyelewengan dan salah urus yang membebankan kewangan negeri.

“SG4 mesti memastikan bahawa proses tender dilakukan dengan adil dan telus untuk mengelakkan masalah yang sama. Kelemahan dalam proses tender boleh menyebabkan projek diberikan kepada pihak yang tidak berkelayakan, mengakibatkan pembaziran sumber dan kegagalan projek,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan empat negeri dikuasai PN menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) bagi membolehkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkongsi kekayaan secara saksama.

Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4), Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, setiap negeri akan mempunyai 25 peratus pegangan dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.

Tambah Shamshul Anaz, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab menetapkan polisi dan garis panduan serta memantau pelaksanaan projek melalui SG4 tersebut.

Katanya, walaupun SG4 mengendalikan operasi harian, kerajaan negeri juga harus memastikan ketelusan dan kepatuhan terhadap dasar yang ditetapkan selain pemantauan serta pengawasan yang ketat bagi mengelakkan sebarang risiko penyelewengan.

“SG4 akan menguruskan operasi harian, kewangan dan pelaksanaan projek. Mereka perlu memastikan bahawa semua proses adalah telus dan mematuhi undang-undang. Laporan berkala kepada kerajaan negeri adalah penting untuk memastikan kemajuan projek dan penggunaan dana dipantau dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, SG4 juga berpotensi untuk meningkatkan kos sara hidup jika fokus terlalu berat pada keuntungan syarikat.

Ujar beliau, seperti dalam kes penswastaan di mana syarikat swasta sering menaikkan harga barang dan perkhidmatan untuk meraih keuntungan dan SG4 berisiko menyebabkan kenaikan kos kepada rakyat jika pengurusan projek tidak mengambil kira kepentingan awam.

“Selain itu, penswastaan telah menunjukkan bagaimana pengalihan kawalan kepada pihak swasta boleh mengakibatkan kehilangan kawalan kerajaan terhadap aset penting.

“SG4 dengan pendekatan pengurusan korporat, mungkin mengalami situasi serupa jika pengurusan sumber strategik dan projek besar tidak dikawal secara berkesan oleh kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN