Keberkesanan PNK dikaji semula untuk bantu nelayan - Utusan Malaysia

Keberkesanan PNK dikaji semula untuk bantu nelayan

MUHAMMAD Faiz Fadzil (kiri) memakaikan jaket keselamatan kepada nelayan pada Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Kuala Jerlun di Jerlun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengkaji semula keberkesanan pertubuhan nelayan kawasan (PNK) di seluruh negara bagi melakukan pembaharuan terhadap organisasi itu agar lebih efisien dalam membawa kemajuan kepada nelayan.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini terdapat beberapa PNK yang berdepan kesulitan berkaitan hal pengurusan, berikutan kawasan kendalian yang terlalu luas.

Sebagai contoh katanya, PNK Kuala Kedah terpaksa mengelolakan kawasan yang bermula dari sempadan Kedah dan Perlis di Kuala Jerlun hingga ke Kuala Sala melibatkan keahlian lebih 4,800 nelayan.

“Saiz geografinya cukup besar dan keadaan itu sudah tentu menyukarkan pengurusan terhadap nelayan di kawasan itu. Jadi kami akan semak semula beberapa PNK yang terlalu luas bagi mencari penyelesaian terbaik dan berkesan untuk memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada nelayan.

“Situasi ini tidak hanya berlaku di Kedah atau semenanjung, malah di Sabah dan Sarawak. Kita akan lihat solusi terbaik sama ada menubuhkan PNK baharu atau pecahan kepada beberapa unit,” katanya pada Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Kuala Jerlun di sini, hari ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan peralatan menangkap ikan iaitu tong ikan dan jaket keselamatan untuk kegunaan 100 nelayan bernilai kira-kira RM40,000 selain berkunjung ke rumah beberapa penduduk setempat yang memerlukan.

Mengulas lanjut katanya, kajian itu penting bagi memperkasakan PNK untuk membantu mengukuhkan ekonomi nelayan.

“Kita mahu PNK main peranan aktif sebagai medium menambah pendapatan nelayan. Mereka tidak hanya perlu bergantung kepada penjualan ikan segar semata-mata sebaliknya boleh turut terlibat dalam industri hiliran.

“Selama ini banyak syarikat-syarikat besar yang wujud dalam industri berkaitan perikanan tetapi mengapa selama ini PNK sendiri yang tidak ke depan demi kebaikan nelayan,” katanya.

Sementara itu Muhammad Faiz berkata, setakat ini hasil tangkapan ikan masih tidak terjejas meskipun beberapa negeri termasuk Kedah dilanda ribut dan banjir, baru-baru ini.

“Tetapi kita tetap melakukan persediaan rapi untuk berdepan sebarang kemungkinan. Sebanyak 1,500 tan metrik ikan segar beku siap sedia untuk berdepan monsun dan kita turut bekerjasama dengan syarikat swasta bagi memastikan stok mencukupi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN