Keberkesanan Empangan Sabo Titi Hayun perlu dikaji - Utusan Malaysia

Keberkesanan Empangan Sabo Titi Hayun perlu dikaji

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (dua kanan) ketika hadir ke Majlis Penutup Festival Insan Sejahtera di Dewan Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Keberkesanan Empangan Sabo di Sungai Titi Hayun, Yan, perlu dikaji semula selepas dilihat tidak mampu menampung aliran deras air dari Gunung Jerai yang menyebabkan banjir kilat, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tragedi aliran puing yang berlaku di kawasan itu pada 2021 telah mengubah bentuk muka bumi kawasan itu sehingga Sungai Titi Hayun menjadi cetek.

Menurutnya, agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) diminta meninjau semula kawasan itu bagi melihat kaedah baharu untuk mengelak bencana berulang.

“Selepas Empangan Sabo Titi Hayun siap, semalam baru pertama kali hujan lebat dengan air sebanyak itu. Mungkin JPS boleh kaji balik, mungkin ada model lain, rekaan lain atau ada tambah baik kepada empangan itu.

“Ini kerana apabila kepala air datang dulu (pada 2021), sungai itu menjadi cetek. Batu terhimpun di dasar sungai menyebabkan sungai ‘terangkat’, empangan Sabo mungkin tak mampu atasi itu,” katanya selepas Majlis Penutupan Festival Insan Sejahtera 2024 di sini, hari ini.

Tambahnya, penduduk yang terjejas di beberapa kawasan akibat banjir kilat semalam, diharap bersabar sementara kajian baharu di kawasan kerap berlaku bencana berkenaan dilaksanakan pihak berkuasa.

Katanya, susulan kejadian banjir yang kerap berlaku beberapa tahun lalu, banyak langkah yang dicadangkan pihak terlibat sudah dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengurangkan impak bencana kepada penduduk.

“Macam di Yan sudah ada empangan Sabo, tapi air masih lalu di laluan sama. Fenomena lepas perubahan iklim ini bagi kita senario baru. Ada kawasan air tak pernah naik, tiba-tiba naik, ada musim kering, tiba-tiba hujan selebatnya.

“Gunung Jerai tidak pernah memuntahkan air sebanyak itu, tapi ada sekarang. Ini kerana ia adalah fenomena yang akan berlarutan sejak kita mula hadapi pada 2021, kita sudah ambil langkah pencegahan seperti bina empangan Sabo,” katanya.

Sebanyak empat buah kampung di Yan iaitu Seberang Pekan Yan, Raga, Ruat dan Titi Bakong dilanda banjir kilat kesan limpahan air deras dari Gunung Jerai di kawasan Sungai Titi Hayun dan Seri Perigi. Bagaimanapun, tiada kerosakan teruk dilaporkan berlaku di kawasan itu dengan air kembali surut kira-kira pukul 9 malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya