KUALA LUMPUR: Pengunjung sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara di Jalan P. Ramlee di sini berdepan detik cemas apabila berlaku kebakaran di bahagian tangga laluan kecemasan premis tersebut, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) pada 8.12 malam dan jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Sebanyak 22 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak serta bantuan BBP Hang Tuah dan BBP Titiwangsa dihantar ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi PBK II, Mohd. Azimin Mohd. Zaidi, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati asap tebal di tingkat tiga bangunan terbabit.
“Anggota operasi bertindak mencari punca api dna mendapati kebakaran berlaku di bahagian tangga laluan kecemasan melibatkan longgokan kotak yang terbakar di dalam tong sampah.
“Anggota operasi menggunakan satu aliran hos untuk pemadaman serta membuat kerja-kerja ventilation,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 8.45 malam.
“Tiada mangsa yang terlibat dan punca-punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN